Bahasa pengantar sekolah vernakular tak bercanggah dengan perlembagaan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah vernakular tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana bahasa kebangsaan diajar sebagai mata pelajaran wajib di sekolah terbabit.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, yang mewakili Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, berhujah bahawa kesemua sekolah terbabit juga perlu mematuhi sukatan mata pelajaran yang sama.

Beliau berkata, penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular diiktiraf dari segi sejarah dan diperuntuk secara jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Horng Bin berkata, pemeriksaan terperinci ke atas dokumen dan peristiwa bersejarah berkaitan adalah penting untuk pemahaman yang betul mengenai Perkara 152.

"Kita dibentuk oleh sejarah, sejarah adalah siapa diri kita dan mengapa kita adalah kita," katanya di hadapan panel tiga hakim yang mendengar rayuan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Horng Bin berkata, hasrat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa sama, memelihara serta mengekalkan penggunaan bahasa lain dalam sistem pendidikan.

Justeru, beliau berkata, relief yang dipohon oleh Mappim, Gapena, Isma dan I-Guru adalah bertentangan dengan hasrat penggubalnya berdasarkan sejarah Perlembagaan selain memusnahkan tonggak asas keseimbangan Perlembagaan di negara ini.

Rayuan itu didengar oleh Datuk Supang Lian, Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.

Artikel Berkaitan:

Pada 29 Disember 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena and Isma. GPMS bagaimanapun tidak memfailkan rayuan.

Mohd Nazlan memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Pada 29 Mei tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) turut memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan ketika beliau menolak saman I-Guru.

Menerusi saman yang difailkan pada Disember 2019, GPMS, Mappim, Gapena dan Isma menamakan beberapa pihak termasuk kerajaan, kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia serta Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).

I-Guru pula, yang menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, memohon deklarasi bahawa Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak mempunyai kesan.

Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia, MCA dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah dibenarkan mencelah dalam saman yang difailkan oleh I-Guru.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar hujah peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili I-Guru dan Datuk Bastian Vendargon yang mewakili Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia serta Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia.

Shaharudin berkata, berdasarkan pelan tindakan pendidikan kerajaan yang terkini, hampir 100 peratus pelajar Cina pergi ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina manakala enam daripada 10 pelajar India ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Beliau berhujah adakah perpecahan seperti ini boleh menyumbang kepada pembangunan negara yang kukuh, bersatu dan harmoni.

Vendargon pula berhujah Mohd Nazlan tidak terkhilaf apabila beliau memutuskan bahawa peruntukan yang berkaitan dalam Akta Pendidikan 1996 tidak bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Supang Lian kemudian menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh seterusnya bagi pendengaran rayuan itu. - Bernama