Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat angkat dua tumpuan utama

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat merupakan wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia serta memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan sebuah rencana menyeluruh dan teliti bagi menghadapi tantangan pelbagai isu.

Antaranya melibatkan isu-isu jangka panjang terkait daya saing dan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan utama serta isu-isu semasa yang perlu segera ditangani seperti kenaikan kos sara hidup yang mengesankan rakyat.

"Seperti semua maklum, pelbagai ikhtiar telahpun mula dilaksanakan khususnya di bawah Belanjawan Madani 2023 dan siri pengumuman rasmi sejak pentadbiran saya mengambil alih kerajaan.

"Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak antaranya termasuklah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Peluncuran Memperkasa Ekonomi Madani di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara pada Khamis.

Dalam pada itu, menurut Anwar, Ekonomi Madani menetapkan sasaran jangka pendek yang sudahpun digerakkan bagi menangani isu-isu segera yang memberi kesan kepada rakyat.

"Ia termasuklah menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif.

Pelbagai usaha kita lakukan seperti tambah peruntukan, mudahkan tatacara perolehan serta turunkan kuasa pelaksanaan bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek sekolah dan klinik daif.

"Kedua, menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga. Usaha digerakkan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) supaya isi rumah miskin tegar punyai peluang meningkatkan pendapatan mereka, dan tidak hanya semata-mata menerima bantuan tunai langsung," ujarnya.

Tambahnya, konsep Payung Rahmah turut diperkenalkan dan akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran kos sara hidup.

"Payung Rahmah diketahui sebagai cetusan idea Allahyarham saudara Datuk Seri Salahuddin Ayub.

"Semua yang mengenali beliau amat terkesan sekali dengan pemergian tokoh hebat ini.

"Kerja keras dan kesungguhan beliau dalam menangani beban sara hidup rakyat akan menjadi pembakar semangat untuk kita semua melakukan yang terbaik untuk Malaysia tercinta," jelasnya.

Kerajaan tumpu usaha tambah baik SSL, tingkat keterjaminan makanan - Anwar

Sementara itu Bernama melaporkan, Anwar berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha untuk menambah baik Tahap Sara Diri (SSL) serta meningkatkan keterjaminan makanan

Beliau berkata, ia termasuk menambah keluasan tanaman tetapi mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada.

"(Selain itu), meningkatkan daya tahan sektor agromakanan melalui aplikasi teknologi pertanian bagi meningkatkan produktiviti untuk manfaat petani kecil.

"Ini termasuklah pendekatan pertanian regeneratif, tanaman berdaya tahan iklim serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI),” kata Anwar pada majlis peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat di sini pada Khamis.

Bagi menyediakan sokongan kepada industri makanan tempatan untuk meningkatkan pengeluaran, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejumlah RM200 juta disediakan di bawah Agrobank untuk membantu menyediakan kemudahan pembiayaan khususnya bagi aplikasi teknologi moden pertanian.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan telah mengumumkan komitmen menambah baik infrastruktur pengairan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi kepada lima musim dalam tempoh dua tahun melibatkan prasarana bernilai RM3 bilion.

"Malaysia kaya dengan khazanah alam dan mempunyai hutan tertua di dunia. Sektor perladangan dan industri hiliran merupakan sumber penting ekonomi namun kita perlu menilai semula pendekatan kita terhadap penggunaan tanah.

"Setakat ini, sejumlah 5.7 juta hektar tanah digunakan bagi tanaman kelapa sawit dan hampir dua juta hektar lagi bagi tanaman getah,” kata Anwar.

Bagi tujuan itu, beliau berkata antara ikhtiarnya adalah untuk mencipta aset biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon melalui usaha pemuliharaan dan penghutanan semula.

Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun antaranya Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia, Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia serta peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

ARTIKEL BERKAITAN:

Bantuan khas RM300 kepada penjawat awam, RM200 pesara

Malaysia sasar di kedudukan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033

Kerajaan setuju tawar kredit e-tunai RM100 kepada rakyat

Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan sokong syarikat pemula tempatan

Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat angkat dua tumpuan utama

Ekonomi Madani tetapkan tujuh penanda aras - PM