Maritim Malaysia bantah pencerobohan PCG Singapura

Laporan Sinar Harian pada Isnin dan kenyataan media Maritim Malaysia membantah pencerobohan Polis Pengawal Pantai Singapura.
Laporan Sinar Harian pada Isnin dan kenyataan media Maritim Malaysia membantah pencerobohan Polis Pengawal Pantai Singapura.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membantah tindakan agensi penguatkuasa Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura yang telah memasuki perairan Malaysia pada minggu lalu.

Dalam kejadian pada 14 Ogos itu, jaring pukat sebuah bot nelayan tempatan turut dilanggar dan tersangkut di bebaling bot penguat kuasa negara itu.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, nelayan terbabit telah membuat laporan polis tentang insiden yang berlaku di kedudukan 0.2 batu nautika di barat daya Tuas Checkpoint.

"Berdasarkan lokasi kejadian yang dilaporkan pengadu, Maritim Malaysia telah merujuk kepada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi proses pengesahan insiden di atas Peta Baru Malaysia 1979.

"Pihak JUPEM mengesahkan lokasi kejadian yang dilaporkan oleh pengadu jelas berada di dalam perairan Laut Wilayah Malaysia berhampiran jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

"Lokasi kejadian juga merupakan kawasan tradisi atau lokasi biasa bagi nelayan tempatan di Johor menangkap ikan dan menjaring udang,” jelasnya.

Menurut Saiful Lizan, Maritim Malaysia kecewa atas tindakan bot PCG terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu dan merosakkan peralatan nelayan tempatan selain menunjukkan sikap tidak menghormati kedaulatan maritim Malaysia.

"Insiden terbabit telah mengakibatkan nelayan berkenaan terpaksa menanggung kerugian yang agak tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia akan membuat permohonan bantahan diplomatik agar kejadian yang serupa tidak berulang di masa hadapan demi memelihara hubungan baik kedua-dua buah negara," ujarnya.

Pada Ahad, Pasukan Polis Singapura (SPF) menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini, Isnin lalu.

SPF dalam kenyataannya memaklumkan, dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Tuas.

SPF berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.55 pagi Isnin lalu ketika bot PCG sedang membuat kawalan di kawasan perairan negara itu.

Pada Rabu lalu, empat nelayan Kampung Pendas, Iskandar Puteri mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika sedang memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau, pada pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi berhampiran Jambatan Linkedua itu, sebuah bot berkuasa negara jiran didakwa secara tiba-tiba melanggar jaring udang yang dipasang sebelum menariknya sehingga masuk ke dalam sempadan negara berkenaan.

Nelayan Kampung Pendas, Faizan Wahid, 42, dilaporkan berkata ketika kejadian dia bersama tiga nelayan lain sedang memasang jaring udang.

ARTIKEL BERKAITAN:

[VIDEO] Nelayan dakwa jaring dilanggar pihak berkuasa Singapura

Polis Singapura nafi dakwaan nelayan tempatan