Dua kakitangan AADK bekal dadah pada klien di PUSPEN hadapi Lembaga Tatatertib pada Isnin

BACHOK - [DIKEMAS KINI] Dua kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang terlibat dengan kes 47 klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah, positif dadah jenis methamphetamine akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib pada Isnin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses tatatertib terhadap kedua-dua kakitangan terlibat telah pun dimulakan lebih awal dan kini memasuki fasa terakhir.
"Semua kakitangan yang terlibat, tiga individu merupakan polis bantuan. Daripada jumlah itu, seorang didapati bukan sahaja membekalkan dadah kepada klien, malah turut positif bahan terlarang.
“Kes itu telah pun melalui proses Lembaga Tatatertib dan individu terbabit dipecat pada Oktober 2025. Itu sudah selesai,” katanya kepada pemberita pada Majlis Bersahur bersama klien sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di PUSPEN Bachok di sini pada Ahad.
Menurut beliau, tindakan ke atas ketiga-tiga kakitangan AADK itu bukan dibuat secara tergesa-gesa susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Ujarnya, siasatan dalaman AADK terhadap insiden di PUSPEN Serdang telah bermula sejak November 2024 sebelum laporan EAIC dikeluarkan.
Tambah beliau, tiga kakitangan terbabit dikenal pasti terlibat ketika itu dan tindakan segera diambil dengan mengeluarkan mereka dari penempatan asal serta ditempatkan di pejabat AADK negeri sementara siasatan dijalankan.
Saifuddin Nasution menegaskan tindakan tatatertib penjawat awam perlu mengikut prosedur ketat.
“Kita tidak boleh langgar prosedur. Jika proses diabaikan, mereka boleh mencabar keputusan di mahkamah. Sebab itu walaupun nampak mengambil masa, semua mesti dibuat mengikut saluran,” katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan AADK telah mengambil tindakan pertukaran serta dalam proses tatatertib terhadap pegawainya yang terlibat berhubung kes 47 klien di PUSPEN Serdang, Kedah, positif dadah jenis methamphetamine.
Menurut Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, proses tindakan tatatertib dilaksanakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Tatakelakuan dan Tatatertib) 1993.
Menurutnya, selain itu AADK turut melaksanakan pemeriksaan dan ujian saringan air kencing secara mengejut di seluruh PUSPEN bagi memastikan persekitaran pusat pemulihan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Ringkasan AI
- Dua kakitangan AADK yang terlibat dengan kes 47 klien di PUSPEN Serdang, Kedah, positif dadah jenis methamphetamine akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib.
- Tiga individu polis bantuan terlibat, satu didapati membekalkan dadah dan positif bahan terlarang telah dipecat pada Oktober 2025
- Siasatan dalaman AADK bermula sejak November 2024 sebelum laporan EAIC dikeluarkan
- Tiga kakitangan terbabit dikenal pasti dan dikeluarkan dari penempatan asal serta ditempatkan di pejabat AADK negeri sementara siasatan
- Tindakan tatatertib perlu mengikut prosedur ketat untuk memastikan keputusan boleh diterima tanpa bantahan di mahkamah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

