Seorang patah kaki, 7 sesak nafas dalam kebakaran rumah inap desa di Batu Ferringhi

Seorang wanita patah kaki kanan manakala tujuh lagi rakannya cedera ringan serta sesak nafas dalam kebakaran sebuah kediaman tiga tingkat yang dijadikan rumah inap di Pearl Residence, Solok Sungai Emas di Batu Ferringhi - Gambar hiasan
Seorang wanita patah kaki kanan manakala tujuh lagi rakannya cedera ringan serta sesak nafas dalam kebakaran sebuah kediaman tiga tingkat yang dijadikan rumah inap di Pearl Residence, Solok Sungai Emas di Batu Ferringhi - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang wanita patah kaki kanan manakala tujuh lagi rakannya cedera ringan serta sesak nafas dalam kebakaran melibatkan sebuah kediaman tiga tingkat yang dijadikan rumah inap di Pearl Residence, Solok Sungai Emas di Batu Ferringhi, di sini awal hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 pagi dan sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal terus ke lokasi.

"Kesemua lapan wanita yang menyewa rumah inap tersebut berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba dan kebakaran melibatkan bahagian ruang tamu di tingkat bawah yang berkeluasan 140 meter persegi.

"Pihak bomba menjalankan kerja pemadaman dan mengawal api daripada terus merebak pada 5.20 pagi sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya 15 minit kemudian dan operasi tamat sepenuhnya 6.26 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang patah kaki kanan berusia 31 tahun manakala tujuh lagi wanita berusia antara 31 dan 32 tahun mengalami kecederaan ringan serta sesak nafas dipercayai akibat terhidu asap ketika menyelamatkan diri.

John berkata kesemua mangsa diberikan rawatan awal oleh petugas perubatan sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang wanita patah kaki kanan dan tujuh lagi cedera dalam kebakaran rumah inap di Batu Ferringhi
  • Kebakaran berlaku awal pagi melibatkan bahagian ruang tamu di tingkat bawah
  • Lapan wanita berjaya menyelamatkan diri sebelum bomba tiba
  • Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa kurang dari sejam dari tindakan bomba
  • Mangsa diberi rawatan awal dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!