Pemilik syarikat didenda RM150,000 miliki 29,070 liter diesel tanpa lesen

KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik syarikat dijatuhi hukuman denda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas dakwaan memiliki lebih 29,000 liter minyak diesel tanpa lesen sah kira-kira tiga tahun lalu.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli memutuskan hukuman tersebut terhadap Orang Kena Saman (OKS), Hasdi Mustapa, 45, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Sebaik pengakuan direkodkan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerbu premis di Lot 7731, Jalan Besar, Kampung Cacar, Paka kira-kira jam 3.30 pagi pada 6 Julai 2023.
Hasil pemeriksaan menemukan sebuah lori tangki jenis Volvo bersama semi trailer dalam keadaan mencurigakan.
Siasatan lanjut mendapati lima ruangan tangki semi trailer tersebut berisi cecair disyaki minyak diesel tanpa lak keselamatan, manakala kunci kenderaan ditinggalkan di dalam lori yang tidak berkunci.
Semakan mendapati lori milik syarikat Fueller Logistics (KL) Sdn Bhd itu sepatutnya berada dalam keadaan kosong pada tarikh kejadian kerana tiada jadual penghantaran ditetapkan.
Tertuduh kemudiannya mengaku bahawa bekalan diesel tersebut adalah minyak bersubsidi yang dikutip dari beberapa stesen minyak di sekitar Paka dan Dungun untuk tujuan penyelewengan.
Ekoran itu, OKS didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Selain hukuman denda, mahkamah turut memerintahkan hasil jualan diesel berjumlah RM68,888.79 serta lori tangki tersebut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan dan Pegawai Pendakwa, Nur Amirah Mokhtar, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Zaiful Bahri Kamde.
Ringkasan AI
- Seorang pemilik syarikat dikenakan denda RM150,000 kerana memiliki lebih 29,000 liter minyak diesel tanpa lesen
- Tertuduh juga boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda
- Operasi serbuan oleh pegawai KPDN pada 6 Julai 2020 di Lot 7731, Jalan Besar, Kampung Cacar, Paka
- Lori tangki semi trailer yang disiasat ditemukan penuh dengan minyak diesel bersubsidi tanpa jadual penghantaran
- Mahkamah memerintahkan hasil jualan diesel dan lori tangki dilucut hak kepada kerajaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
