Wanita cuba seludup 4 ekor siamang ke India dicekup di KLIA

SEPANG - Seorang wanita disyaki berperanan sebagai 'keldai' bagi menyeludup empat ekor hidupan liar spesies siamang bernilai RM120,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini dicekup pada Sabtu.
Tangkapan dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penahanan itu susulan pemeriksaan bagasi bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tiruchirapally, India.
"Pemeriksaan kira-kira jam 10.50 malam itu menemui empat ekor disyaki siamang dalam bagasi terbabit.
"Wanita tempatan berusia 39 tahun kemudian ditahan sebelum dibawa ke Pejabat Perhilitan KLIA untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambahnya, siasatan awal mendapati wanita itu disyaki merupakan 'keldai' yang diupah bagi membawa hidupan liar terbabit.
"Kes masih dalam siasatan termasuk mengenal pasti jumlah bayaran diterima wanita terbabit serta sumber siamang itu diperoleh," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
Ringkasan AI
- Seorang wanita disyaki berperanan sebagai 'keldai' menyeludup empat ekor siamang bernilai RM120,000 melalui KLIA Terminal 1
- Tangkapan dilaksanakan Perhilitan dengan kerjasama AVSEC
- Penahanan susulan pemeriksaan bagasi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tiruchirapally, India
- Wanita berusia 39 tahun ditahan dan dibawa ke Pejabat Perhilitan KLIA untuk tindakan lanjut
- Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
