Johari tokoh korporat berjaya, dilantik Exco kali pertama bertanding

Johari antara mangsa yang maut dalam kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada Khamis.
Johari antara mangsa yang maut dalam kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun, 53, yang merupakan antara 10 mangsa terkorban dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam Selangor pada Khamis, merupakan tokoh korporat berjaya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

Ketokohan dan pengalaman luas dimilikinya membolehkan beliau dipilih menjadi sebahagian daripada 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pahang, walaupun kali pertama bertanding mewakili Barisan Nasional pada pilihan raya itu.

Pada PRU15, Johari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Anak jati Pahang yang dilahirkan pada 20 Januari 1970 itu merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Sungai Besi dan siswazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Gading Group Berhad.

Penglibatan beliau dalam bidang politik bermula secara rasmi apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong pada tahun 2008 hingga 2013 sebelum menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 2018.

Beliau kemudiannya menerajui kepimpinan UMNO Bentong selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan Mac lepas, mengambil alih tampuk kepimpinan itu daripada Tan Sri Adnan Yaakob yang memilih untuk bersara daripada politik.

Pada masa itu Johari menyatakan hasrat mahu mengunakan segala kudrat, idea dan pengalaman untuk memperkukuhkan parti dengan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memandangkan parti sedang berdepan situasi politik yang semakin mencabar.

Johari juga dilihat sebagai pelapis untuk menerajui kepimpinan UMNO Pahang, berdasarkan penglibatannya yang aktif di lapangan selain mempunyai keperibadiannya melaksanakan tugas dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Selain politik, beliau juga aktif dalam bidang lain termasuk pendidikan kerana pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amanah Tuanku Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dan Ahli Lembaga Penasihat Industri Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selain berperanan sebagai Ahli Majlis Perbandaran Bentong.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengesahkan berita kematian Johari akibat nahas berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut dengan lapan daripadanya adalah penumpang dan kru pesawat dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina.

Dua daripada mangsa adalah orang awam yang masing-masing menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat berkenaan terhempas.

Pesawat malang itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.50 petang. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat dilapor terhempas di Elmina Shah Alam

Nahas pesawat: Tiada panggilan kecemasan dibuat - CAAM

10 terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina

'Nampak pesawat senget, dengar bunyi dentuman'

Saksi dengar bunyi letupan kuat, nampak mangsa rentung

Tiada isyarat bahawa pesawat hadapi masalah - Ketua Polis Selangor

Jet Valet sahkan terima laporan pesawat miliknya terhempas di Elmina

Exco Pahang antara korban nahas pesawat di Elmina

Nahas pesawat: Pas Pahang ucap takziah atas pemergian Johari

Nahas pesawat: Mangsa bukan anak Jamaluddin Jarjis

Pesawat terhempas: Amirudin ucap takziah

Persimpangan Elmina ditutup susulan pesawat terhempas