Amirudin menghadap Sultan Selangor

Amirudin menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam kira-kira jam 2.30 petang.
Amirudin menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam kira-kira jam 2.30 petang.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam di sini pada Khamis.

Amirudin menaiki kereta rasmi Menteri Besar jenis Toyota Camry dengan diiringi pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia tiba di istana berkenaan kira-kira jam 2.30 petang.

Bagaimanapun tujuan pertemuan itu masih lagi menjadi tanda tanya namun dipercayai bagi menyembah maklum nama calon Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini pelbagai spekulasi mengenai pelantikan Menteri Besar menjadi tajuk utama media termasuk Menteri Besar Selangor ke-17 yang baharu dijangka mengangkat sumpah pada Jumaat ini.

Media sebelum ini turut melaporkan Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Julai lalu, ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di Kuala Selangor.

Anwar dilaporkan berkata, keputusan itu bagi memastikan Amirudin dapat meneruskan kecemerlangan dalam mentadbir kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, terdapat khabar angin bahawa Amirudin akan diangkat sebagai menteri di peringkat Persekutuan dan tempatnya diganti calon muka baharu juga dari PKR.

Artikel Berkaitan:

Antara nama yang disebut-sebut adalah Dr Fahmi Ngah, calon PKR yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Pada PRN Selangor Sabtu minggu lalu, gabungan PH dan BN berjaya membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.

Jumlah 34 kerusi itu diperoleh menerusi DAP sebanyak 15 kerusi, PKR pula 12 kerusi manakala Parti Amanah Negara memperoleh lima kerusi sementara BN hanya dua kerusi.

Sementara itu, PN pula memenangi 22 kerusi menerusi BERSATU sebanyak 12 kerusi manakala PAS mendapat 10 kerusi.