PRN: Muda kenal pasti kerusi boleh ditandingi

Amira Aisya meninjau kaunter perkhidmatan guaman percuma selepas melancarkan Majlis Klinik Guaman Muda di pusat beli belah Toppen, Tebrau, Johor Bahru pada Sabtu.
Amira Aisya meninjau kaunter perkhidmatan guaman percuma selepas melancarkan Majlis Klinik Guaman Muda di pusat beli belah Toppen, Tebrau, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sudah mengenal pasti kekuatan dan potensi mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, proses itu penting bagi memastikan negeri mana Muda akan meletakkan calon-calon mereka untuk bertanding terutama di negeri yang mempunyai akar umbi parti kuat seperti Selangor Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Kita kalau bercakap tentang nak bawa perbincangan (pembahagian kerusi) kepada mana-mana pihak (parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan), ini kita kena selesaikan di pihak kita dahulu. Jadi di pihak Muda kita sudah selesaikan penilaian di dalam parti sendiri.

"Kita sudah kenal pasti kekuatan dan juga negeri mana yang ada kemungkinan untuk bertanding dan negeri mana yang berkemungkinan kita tidak akan bertanding.

"Apa-apa pun kita belum mencapai kata putus di peringkat jawatankuasa Muda Pusat, kita sudah tubuhkan jawatankuasa pilihan raya. Kita akan umumkan pengarah pilihan raya dalam masa terdekat," katanya dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Majlis Klinik Guaman Muda Tebrau di pusat beli belah Toppen, Tebrau di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Muda Johor, Azrol Rahani dan Ketua Parlimen Muda Tebrau, Charles Raj.

Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, selepas rundingan kerusi dimuktamadkan, perkara berkenaan akan dibawa untuk perbincangan dengan parti-parti komponen yang ada dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketika ini katanya, kepimpinan parti sudah bertemu dengan jentera di negeri-negeri yang terlibat dengan PRN manakala keputusan bertanding di negeri pantai timur akan ditentukan tidak lama lagi.

Berkenaan program itu, Amira Aisya berkata, Muda akan membuka kaunter bergerak di beberapa tempat berbeza di daerah ini bagi memberi nasihat guaman percuma kepada mereka yang memerlukan.

Jelasnya, klinik guaman itu menyediakan pendidikan undang-undang dan meningkatkan kesedaran komuniti berpendapatan rendah berkenaan undang-undang sivil; perjanjian sewa; keganasan rumah tangga; jenayah; saman; penceraian dan hak kanak-kanak serta undang-undang syarikat.