JPJ Pahang keluar 28 notis, ubah suai kenderaan perdagangan jadi sasaran

KUANTAN - Pemasangan aksesori yang boleh mendatangkan bahaya antara kesalahan yang diambil tindakan dalam operasi penguatkuasaan membanteras pengubahsuaian kenderaan perdagangan tidak mematuhi spesifikasi serta peraturan yang ditetapkan di sekitar daerah ini pada Sabtu.
Dalam operasi di Jalan Pintasan Kuantan dan sepanjang laluan Gebeng–Gambang di sini turut dikesan penggunaan ekzos yang tidak mengikut spesifikasi.
Unit Korporat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang berkata, tindakan juga diambil ke atas pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal menyelenggara ekzos dengan baik, sebagaimana diperuntukkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.
Menurutnya, sepanjang operasi tersebut, 28 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Antaranya, 12 notis saman P22, Notis Larangan Penggunaan Kenderaan PG1 (4 notis) dan 12 Notis Arah Periksa di bawah Seksyen 61(1) Akta Pemgangkutan Jalan 1987," katanya melalui kenyataan di sini.

Jelasnya, operasi dilaksanakan menerusi Stesen Penguat Kuasa Panching itu memberi tumpuan kepada pemasangan aksesori tambahan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya, selain pemeriksaan terhadap sistem ekzos kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
"Pengubahsuaian kenderaan yang tidak mematuhi peraturan bukan sekadar isu penampilan, malah berpotensi menjejaskan keselamatan jalan raya, khususnya apabila melibatkan pemasangan aksesori tambahan yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.
"Pelaksanaan operasi seumpama ini akan terus dipergiat sebagai langkah penguatkuasaan berterusan bagi memastikan setiap kenderaan yang menggunakan jalan raya berada dalam keadaan selamat, mematuhi spesifikasi teknikal serta kehendak perundangan yang berkuat kuasa," ujarnya.
Sementara itu, JPJ Pahang melalui Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat turut melaksanakan program advokasi keselamatan jalan raya sempena sambutan perayaan Deepavali kali ini bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap kepentingan pemanduan berhemah dan pematuhan undang-undang jalan raya.
Program yang diadakan di sekitar kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini memberikan tumpuan khusus kepada pemandu kenderaan perdagangan khususnya lori dan penunggang motosikal.
Katanya, antara yang diberikan penekanan sepanjang sesi advokasi itu termasuk aspek keselamatan kenderaan perdagangan; pematuhan had muatan; kesedaran titik buta kenderaan berat;disiplin dan etika pemanduan; keselamatan penunggang motosikal;kepekaan terhadap keadaan jalan raya dan pengurusan perjalanan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

