Belum putuskan lantik ADUN lantikan - MB Terengganu

Ahmad Samsuri (tengah) pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Syarqiyyah.
Ahmad Samsuri (tengah) pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Syarqiyyah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan belum ada keputusan setakat ini untuk melantik wakil daripada kelompok masyarakat tertentu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memperhalusi tentang pelantikan tersebut sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu.

"Sekiranya ada kelompok tertentu dan kaum yang tidak ada perwakilan, ini akan diperhalusi. Setakat hari ini belum ada keputusan lagi cuma memang perkara ini sudah dibangkitkan oleh beberapa wartawan tentang kedudukan negeri yang tidak ada pembangkang.

"Pertamanya, saya berpendapat kita tak boleh salahkan rakyat yang buat keputusan. Rakyat dah buat pemilihan.

"Jadi kerajaan negeri harus lakukan adaptasi bagaimana nak jadikan sidang DUN dan tugas mereka sebagai ADUN untuk memastikan ada semak dan imbang dalam kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Syarqiyyah di sini pada Selasa.

PN menyapu bersih 32 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, Sabtu lepas.

Perkembangan itu pastinya membuka lembaran baharu dalam politik di Terengganu apabila fungsi pembangkang sebagai semak dan imbang kepada kerajaan tidak berlaku dalam tempoh penggal ini.

Pada Ahad, Ahmad Samsuri berkata, Terengganu akan mewujudkan ahli backbencher (penyokong) berperanan menegur setiap kepincangan serta bertindak sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri susulan tiada wakil Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai ADUN dalam PRN.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, tiada kategori dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu yang menyatakan ADUN lantikan perlu dilantik dari kalangan pemimpin politik dari parti pembangkang.

"Dari segi undang-undang itu tak ada kategori sedemikian. Ia hanya lantik kelompok masyarakat yang tiada wakil sebagai contoh dari segi jantina seperti wanita atau kaum lain iaitu Orang Asli dan sebagainya.

"Tidak ada ADUN lantikan dari parti lain. Jadi ADUN Perikatan Nasional dinasihatkan supaya bersikap terbuka dalam menyuarakan pandangan termasuk mengkritik kerajaan negeri berikutan ketiadaan pembangkang dalam DUN," jelasnya.