PRN: Muda belum ada keputusan muktamad

Amira Aisya (kiri) ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Muda Negeri Sembilan pada Khamis.
Amira Aisya (kiri) ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Muda Negeri Sembilan pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung strategi dan jumlah kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, bagaimanapun perbincangan diadakan dengan kepimpinan tinggi parti bagi menghadapi PRN.

Menurutnya, sama ada Muda bertanding ataupun tidak pada PRN ini akan dimaklumkan selepas keputusan muktamad diperoleh.

"Berbezanya PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU), PRN lebih kepada memberikan negeri-negeri untuk putuskan kerana mereka juga yang perlu bertanding.

"Sebab itu saya bersama beberapa kepimpinan tertinggi mahu berbincang dengan kepimpinan Muda di negeri-negeri mengenai hala tuju PRN," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Johor turut memaklumkan Muda belum menerima sebarang jawapan mengenai permohonan menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH).

"Saya rasa ramai yang maklum bahawa situasi Muda dalam PH ini masih lagi belum ada jawapan muktamad.

"Di peringkat Muda, kita masih terbuka untuk apa-apa perbincangan tetapi paling utama bagi saya adalah memperkukuhkan parti menuju ke pilihan raya," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, permohonan Muda untuk menyertai PH hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat PH yang akan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.