Malaysia rekodkan trend peningkatan kes penipuan dalam talian

Awang Adek - Foto fail Bernama
Awang Adek - Foto fail Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Malaysia menyaksikan peningkatan ketara bagi kes penipuan dalam talian sejak dua tahun kebelangan ini, kata Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata, antara tahun 2020 dan 2022, jumlah aduan berkaitan penipuan telah meningkat sebanyak 100 peratus.

"Daripada hanya 548 aduan pada 2020 kepada 1,124 pada tahun 2022, dengan jumlah kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

"Pada tahun 2022, aduan berkaitan penipuan merangkumi hampir 60 peratus daripada keseluruhan aduan yang diterima oleh pihak kami,” katanya kepada media di program Bersama InvestSmart @Penang 2023 yang telah dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya telah menyenaraikan seramai 267 nama ke dalam Senarai Peringatan Pelabur Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan menyekat 166 laman web dan 224 akaun media sosial yang disyaki menjalankan penipuan pelaburan tahun lepas.

Di samping itu, Awang Adek berkata, pada suku pertama tahun ini sebanyak 84 entiti ditambahkan dalam senarai SC itu dan menyekat sebanyak 61 laman web dan 80 akaun media sosial.

"Bagi saya, ini satu tahap yang membimbangkan,” katanya.

Awang Adek berkata pihaknya secara berterusan, mengambil tindakan untuk menyekat dan membanteras aktiviti penipuan atau scam, yang semakin berleluasa di negara ini.

Sementara itu, bagi meningkatkan tahap celik kewangan rakyat dalam pelaburan, pihaknya telah menganjurkan program Bersama InvestSmart @Penang 2023, yang dianjurkan dari 26 hingga 28 Mei.

Program itu melibatkan seramai 38 peserta pameran termasuk Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), Bursa Malaysia Berhad, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Pentadbir Pencen Swasta (PPA) dan beberapa pemain industri pasaran kewangan dan modal. - Bernama