Peratusan keluar undi rendah, jejas kemenangan Pas di Kelantan

Penurunan peratusan keluar mengundi dijangka memberi kesan kepada kemenangan Pas di Kelantan. Gambar kecil: Ahmad Marthada
Penurunan peratusan keluar mengundi dijangka memberi kesan kepada kemenangan Pas di Kelantan. Gambar kecil: Ahmad Marthada
A
A
A

SHAH ALAM - Trend penurunan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya negeri (PRN) akan memberi kesan kepada kemenangan Pas di Kelantan.

Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, kemenangan Pas bergantung kepada pengundi luar yang mana undian mereka menyumbang kepada kemenangan Pas di negeri tersebut.

Katanya, situasi itu secara tidak langsung memberi kelebihan dan peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi kerusi di Kelantan.

"Peratusan keluar mengundi 60 hingga 70 peratus adalah perkara biasa dan pernah berlaku di PRN Melaka dan Johor sebelum ini.

"Namun di Kelantan, sedikit sebanyak menjejaskan peluang kemenangan Pas.

"Kemungkinan penurunan peratusan itu disebabkan rakyat Kelantan yang berhijrah tidak pulang maka bagi pandangan saya, ia satu kelebihan kepada PH dalam konteks memberikan cabaran dan persaingan dalam PRN kali ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), lima negeri mencatatkan peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus setakat jam 4 petang.

Terengganu merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 70 peratus diikuti Kedah (68 peratus), Pulau Pinang (67 peratus), Selangor (65 peratus) dan Negeri Sembilan (62 peratus).

Artikel Berkaitan:

Kelantan masih lagi rendah dengan peratusan keluar mengundi dicatatkan 56 peratus setakat 4 petang.

Tambah Ahmad Marthada, antara faktor lain peratusan keluar mengundi rendah adalah rakyat terbeban ekoran tempoh pilihan raya umum (PRU) dan PRN terlalu dekat.

"Dalam masa sama, masyarakat berpendapat ia tidak begitu mendesak seperti PRU.

"Bagaimanapun, perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh sesetengah pihak tidak kira parti politik atau SPR. Mereka harus meneliti semula apa puncanya," ujarnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!