Tewas 58 undi, Megat Zulkarnain timbang kemuka petisyen pilihan raya

Megat Zulkarnain
Megat Zulkarnain
A
A
A

GOMBAK - Calon Barisan Nasional (BN), Megat Zulkarnain Omardin mempertimbangkan untuk mengemukakan petisyen bantahan terhadap keputusan pilihan raya negeri (PRN) berikutan kekalahan tipis 58 undi ketika bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Pengerusi UMNO Selangor itu berkata, proses ke arah itu sedang dilaksanakan oleh pasukan guaman yang dilantik.

"Saya ada menerima pelbagai permintaan agar membuat petisyen di atas keputusan yang diumumkan.

"Pasukan peguam saya sedang meneliti dan sedang mengumpul bukti untuk kemukakan petisyen bantahan ke mahkamah agar dapat diberikan pertimbangan sewajarnya.

"Insya-ALLAH kalau diberikan keizinan (menang) oleh ALLAH SWT. Kita serahkan kepada peringkat tertinggi (mahkamah) untuk membuat keputusan," katanya menerusi video ringkas dikongsi di TikTok pada Isnin.

PRN DUN Gombak Setia menyaksikan Muhammad Hilman Idham berjaya mempertahankan kerusi disandangnya selepas memperoleh 30,299 undi.

Muhammad Hilman yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menewaskan Megat Zulkarnain yang memperoleh 30,241 undi, manakala calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali dengan 1,076 undi.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memberi undi kepada beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau menganggap undi itu adalah amanah dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Saya telah sebaik mungkin yakinkan pengundi untuk beri peluang kepada saya berkhidmat kepada rakyat Gombak Setia, namun kita terima keputusan yang telah dibuat.

"Sekali lagi saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada jentera BN, Pakatan Harapan (PH) juga badan bukan kerajaan (NGO) yang telah membantu saya," katanya.

Beliau pada sama berkata, akan terus memberikan perkhidmatan kerana bumi Gombak Setia merupakan tempatnya dilahirkan, dibesarkan dan tinggal sehingga kini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Selangor: PH-BN timbang fail petisyen pilihan raya 4 kerusi

PRN15: Dua kerusi majoriti tipis di Selangor

PRN: Hilman menang tipis DUN Gombak Setia

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!