Peluang kedua buat penghuni penjara

Amina (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penganugerahan Program Peneraju Waja Skil Perantisan kepada 20 orang peserta.
Amina (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penganugerahan Program Peneraju Waja Skil Perantisan kepada 20 orang peserta.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Peneraju Waja Skil Perantisan memberi peluang kedua kepada penghuni penjara yang menunjukkan minat mendalam untuk memperbaiki diri dengan mempelajari ilmu bagi menambah baik kehidupan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Dr Amina Josetta Kayani berkata, program itu menjurus kepada bidang ilmu skil vokasional dan teknikal.

“Menerusi rancangan ini, ia merangkumi pensijilan dalam industri yang mana peserta akan mendapat kemahiran bersesuaian dengan permintaan perusahaan dan juga peluang pekerjaan.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan melihat aspirasi kira-kira 200 peserta direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Amina lagi, Program Peneraju Waja Skil Perantisan merupakan salah satu daripada cabang kerjasama Yayasan Peneraju bersama AirAsia Academy dan Jabatan Penjara Malaysia yang menyasarkan peserta Bumiputera berumur di antara 18 hingga 35 tahun.

Katanya, Yayasan Peneraju adalah sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Ekonomi yang menyediakan peluang untuk melatih semula dan menaik taraf kemahiran lebih 57,000 bakat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), sederhana (M40) luar bandar dan terpinggir melalui lebih 470 program.

“Di Yayasan Peneraju, kami sentiasa percaya bahawa peluang itu ada untuk semua. Berdasarkan saluran dan kumpulan sasaran yang betul, ditambah dengan usaha, pemikiran positif dan ilmu yang ikhlas dicari akan menunjukkan hasil,” katanya.

Sementara itu, Presiden AirAsia Digital, Aireen Omar berkata, kerjasama di antara AirAsia Academy dan Yayasan Peneraju merupakan inisiatif pertama yang dipersetujui oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan penghuni yang sebelum ini lebih tertumpu kepada latihan kemahiran vokasional.

Tambah Aireen, kemahiran yang diperoleh sepanjang program latihan selama 14 hari merangkumi kursus pemasaran digital, kemahiran insaniah dan produktiviti.

“Peluang mereka kini lebih cerah untuk mendapatkan pekerjaan dalam ekonomi yang dipacu teknologi digital masa kini, selain meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk menyesuaikan kemahiran dengan keperluan industri.

“Inisiatif ini juga diharap dapat memastikan penghuni tidak lagi ketinggalan dengan perubahan semasa yang menjurus kepada teknologi digital,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beritahu beliau lagi, graduan akan didaftarkan dalam platform MyFutureJobs untuk proses penempatan pekerjaan kerana ia turut mendapat sokongan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bukan itu sahaja, Aireen turut memaklumkan, sekiranya majikan memberi penempatan, mereka akan menikmati potongan cukai tahunan sebanyak RM4,000 bagi setiap graduan yang berjaya ditempatkan di syarikat masing-masing.

Bagaimanapun, graduan yang gagal mendapat pekerjaan boleh menjalankan perniagaan sendiri secara dalam talian dengan menggabungkan kemahiran vokasional sedia ada dan digital.