Kedah kehilangan peluang pendapatan RM100 juta

Muhammad Sanusi berucap pada Majlis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan pada Ahad.
Muhammad Sanusi berucap pada Majlis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan pada Ahad.
A
A
A

YAN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan Kedah kehilangan peluang pendapatan kira-kira RM100 juta setahun di kawasan tanah sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang boleh dibangunkan untuk tujuan industri, komersial dan perumahan.

Menurutnya, kira-kira 10,000 hektar tanah sawah MADA telah dimasukkan di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) di daerah-daerah untuk pembangunan perumahan.

Beliau menambah, kira-kira 400 hektar pula untuk tujuan industri dan beberapa hektar lagi untuk komersial.

"Jadi, jikalau kita ikut RTD itu kita akan dapat hasil yang lebih banyak (seperti) cukai tanah, cukai kemajuan, cukai pintu (dan) caj air.

"Sekarang air masuk ke bendang free (tanpa bayaran), jikalau air pergi ke rumah atau kilang kita boleh caj. Itulah pendapatan-pendapatan yang kita hilang untuk mengekalkan kawasan padi," katanya pada sidang media selepas Majlis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan Kerajaan Persekutuan bersetuju pada dasarnya dengan cadangan agar status tanah di kawasan MADA dipindah kepada pembangunan industri dan komersial.

Tambah Muhammad Sanusi, Kedah berkemungkinan kehilangan pendapatan lebih besar dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

Jelasnya, kawasan tanah terbabit turut mendapat permintaan untuk dibangunkan bagi tujuan lain walaupun kawasan yang produktif dan aktif dari segi tanaman padi.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Kedah akan kehilangan pendapatan yang lebih besar dengan mengekalkan kawasan tanah sawah untuk tanaman padi, sekali gus memohon bantuan fiskal daripada kerajaan Persekutuan di atas kehilangan pendapatan itu.

"Kawasan itu telah dibangunkan dengan kos yang sangat tinggi buat ban, macam-macam lagi untuk pengairan kawasan padi itu. Ini pertimbangan oleh Persekutuan, saya harap benda itu diluluskan.

"Bukan Perdana Menteri lulus keluarkan tanah itu, tanah tersebut tak tanam padi, tidak. Benda ini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan kaji lagi, saya harap permohonan fiskal itu dipertimbangkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!