Lebih dua individu terlibat kes pukul Akhyar - Polis

Azli (Laporan Sinar Harian)
Azli (Laporan Sinar Harian)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suspek yang menyerang pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid sehingga mengalami kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dilakukan lebih daripada dua individu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, setakat ini motif kejadian menjurus terhadap samun yang mendatangkan kecederaan.

"Berdasarkan keterangan daripada mangsa ada melihat sekali imbas sebuah kereta dipercayai Honda City namun warna kereta dan nombor pendaftaran kenderaan tidak dikenal pasti disebabkan keadaan gelap ketika itu.

"Penyerang dipercayai lebih daripada dua orang. Mangsa melihat dua suspek keluar dari belakang kenderaan dan seorang dari bahagian depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dekat sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Azli memaklumkan berdasarkan pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan atau jalan yang dilalui suspek, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan.

"Kita telah mengatur pasukan khas dan membuat pemeriksaan CCTV di kawasan-kawasan yang disyaki dilalui oleh suspek. Setakat ini kita tiada maklumat yang dapat mengesan suspek.

"Siasatan masih diteruskan. Jadi saya minta orang ramai tidak membuat persepsi dan spekulasi tentang penglibatan mangsa dalam lain-lain kes," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azli berkata, dua saksi awal kejadian iaitu kakak mangsa dan seorang penghantar Foodpanda telah dipanggil bagi membantu siasatan.

"Kita telah memanggil beberapa saksi termasuk pengadu iaitu kakak mangsa itu sendiri dan juga penghantar Foodpanda yang membantu mangsa.

"Selain itu, tiada perbualan antara mangsa dengan suspek semasa kejadian di mana mangsa terus dipukul di bahagian kepala," ujarnya.

Sebelum ini, Akhyar mengalami kerugian lebih RM4,800 setelah disamun dua lelaki bersenjata dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu pada malam Khamis.

Azli berkata, pemain berusia 25 tahun itu disamun dua lelaki berpakaian gelap, memakai topeng muka serta membawa senjata besi boleh laras.

Akibat kejadian itu, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima enam jahitan iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!