PM dijadual adakan pertemuan secara dalam talian dengan Google hari ini

Anwar Ibrahim (tengah) ketika hadir pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mei di Dewan Sri Endon Puspanitapuri pada Isnin. Foto Bernama
Anwar Ibrahim (tengah) ketika hadir pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mei di Dewan Sri Endon Puspanitapuri pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan secara dalam talian dengan syarikat gergasi teknologi Google hari ini.

Tanpa menyatakan butiran lanjut mengenai isu yang akan dibincangkan, beliau berkata, Malaysia terus mendapat minat daripada pelabur asing.

"Apa yang kita fokus sekarang ini ialah pertumbuhan ekonomi dan saya lihat kita menerima banyak minat daripada pelabur asing," kata beliau pada majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini pada Isnin.

Anwar juga berkata, baru-baru ini, Microsoft telah mengumumkan pelaburan sebanyak RM10.5 bilion di Malaysia.

Berkongsi mengenai lawatannya ke Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini, Anwar berkata, negara tersebut telah menyatakan komitmen untuk pelaburan lain di Malaysia melalui syarikat gergasi tenaga boleh baharunya selama 10 tahun di sini.

Beliau turut memuji tahap kepantasan yang ditunjukkan negara itu dari segi kelulusan projek dan mahu Malaysia mencontohinya.

"Dari segi perubahan kecekapan, Arab Saudi yang dahulunya antara negara yang lembap...tetapi pada perjumpaan saya baru-baru ini dengan syarikat ACWA pada sekitar 9 hingga 9.30 pagi bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan pegawai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, mereka telah memaklumkan minat mereka (untuk melabur).

"Pada jam 8 malam, mereka telah memberikan lampu hijau kepada kita untuk meneruskan pelaburan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dilaporkan bahawa syarikat gergasi tenaga boleh baharu yang berpangkalan di Arab Saudi, ACWA Power telah menyatakan minatnya untuk melabur lebih AS$10 bilion (AS$1=RM4.77) di Malaysia untuk tempoh 10 tahun.

Antara projek yang dicadangkan ialah projek yang akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan, Cypark Resources Bhd.

Anwar juga berkata, antara faktor yang menyebabkan Arab Saudi terus melabur di negara ini ialah keyakinannya terhadap Malaysia dari segi politik negara yang stabil, dasar kepimpinan yang jelas dan kecekapan daripada penjawat awam dan syarikat kerajaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!