[VIDEO] Ambil contoh kelulusan sehari di Arab Saudi - PM

A
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat berkaitan kerajaan dan penjawat awam wajar mengambil contoh daripada langkah Arab Saudi yang bertindak proaktif meluluskan segera permohonan dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kecekapan dan kepantasan memberi kelulusan segera itu seterusnya membolehkan negara berkenaan melonjak tinggi.

“Saya kagum dengan tahap kelulusan di Arab Saudi, 9.30 pagi dikemukakan permohonan dan pada pukul 8 malam, Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammad Salman telah berikan lampu hijau dan minta diteruskan.

"Saya mahu gesa rakan-rakan khususnya syarikat kerajaan dan penjawat awam daripada sudut tanggungjawab kerajaan," katanya di Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini pada Isnin.

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama

Menurutnya, dalam lawatan ke Riyadh, Arab Saudi minggu lalu, beliau mengadakan pertemuan dengan syarikat gergasi Acwa Power (Acwa) pada jam 9.30 pagi yang menunjukkan minat untuk bekerjasama di Malaysia.

"Kerana ia syarikat kerajaan punya khazanah, maka mereka perlu persetujuan muktamad daripada Perdana Menteri.

“Pada jam 8 malam sebelum pulang ke Malaysia, saya telah berjumpa Mohammad Salman dan beliau telah diberi penjelasan oleh Acwa di mana proses itu dilakukan dalam tempoh satu hari," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Anwar telah mengadakan lawatan kerja ke Riyadh untuk menghadiri mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) bermula 27 hingga 29 April lalu.

Lawatan kerja Anwar adalah atas jemputan Mohammed Salman dan beliau turut diringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau turut menyertai Sesi Panel bertemakan "Wawasan Baharu untuk Pembangunan Global" bersama pemimpin-pemimpin negara lain semasa Pembukaan Mesyuarat Khas ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!