MAIK galak potong gaji pekerja syarikat untuk bayar zakat

Mohamad Rizam (tengah) bersama ketua-ketua wakil syarikat yang membayar zakat perniagaan pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kepada MAIK di sini pada Khamis.
Mohamad Rizam (tengah) bersama ketua-ketua wakil syarikat yang membayar zakat perniagaan pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kepada MAIK di sini pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menggalakkan lebih banyak syarikat korporat di negeri ini melaksanakan pemotongan gaji kepada pekerja untuk tujuan membayar zakat.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, usaha itu bagi membolehkan lebih ramai pekerja melunaskan tanggungjawab membayar zakat dengan mudah.

Beliau memberitahu, MAIK sudah bekerjasama dengan banyak syarikat korporat beberapa tahun lalu melalui kempen dan sesi pertemuan dengan pemilik syarikat terbabit.

"Kesedaran pemilik syarikat terhadap pembayaran zakat penting supaya mereka tidak terlepas tanggungjawab itu dan pada masa sama boleh membantu lebih ramai golongan memerlukan, di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kepada MAIK di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman.

Mohamad Rizam juga yakin, MAIK mampu mencapai sasaran sebanyak RM240 juta tahun ini melalui kempen dan kerjasama syarikat korporat dan individu persendirian.

Jelas beliau, jumlah kutipan zakat semasa yang diterima ialah sebanyak RM141.9 juta manakala nilai agihan ialah RM132.4 juta.

Artikel Berkaitan:

"Kita yakin jumlah berkenaan dapat dicapai kerana kebiasaannya pembayar zakat akan melunaskan tanggungjawab mereka pada Disember setiap tahun," katanya.

Pada majlis berkenaan, MAIK menerima lebih RM11.9 juta zakat perniagaan membabitkan RM7.7 juta daripada Lembaga Tabung Haji, RM2.2 juta daripada Tenaga Nasional Berhad dan Maybank Islamic Bank Berhad sebanyak RM1 juta.

Tiga lagi syarikat korporat yang membayar zakat perniagaan mereka ialah Agrobank sebanyak RM200,000, Syarikat Takaful Malaysia Am dan keluarga (RM500,000) dan Koperasi Guru Melayu Kelantan sebanyak RM292,755.