Pahang catat peningkatan hasil RM41 juta

Wan Rosdy (tiga, kiri) merakamkan gambar kenangan bersama ahli Koperasi Serbausaha Makmur Berhad di pejabatnya di Wisma Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy (tiga, kiri) merakamkan gambar kenangan bersama ahli Koperasi Serbausaha Makmur Berhad di pejabatnya di Wisma Pahang di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Tanggal 9 Mei merupakan genap setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selepas menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 yang lalu.

Namun, BN berjaya mengekalkan kemenangan di Pahang yang menjadikan negeri itu ditadbir oleh BN di bawah pimpinan Menteri Besar baharu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Walaupun bertukar menjadi kerajaan pembangkang, Pahang berjaya meningkatkan hasil negeri sebanyak RM41 juta, iaitu RM181 juta sehingga April tahun ini berbanding RM140 juta pada 2018.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata jumlah tersebut dikutip menerusi hasil tanah, hutan, air dan lain-lain.

Menurutnya, dengan pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan BN, peningkatan itu amat memberangsangkan jika dibandingkan pada tempoh sama, tahun lalu.

"Untuk hasil tanah pada tahun ini kita berjaya mengutip sebanyak RM111juta berbanding RM88 juta pada tahun lepas. Manakala hasil hutan kita meningkat RM26 juta daripada jumlah RM24 juta tahun lepas.

"Bagi hasil air pula, kita berjaya memperoleh RM855,411 berbanding tahun lepas RM382,492 dan hasil-hasil lain juga kita tingkatkan dengan memperoleh RM29 juta tahun pada tahun ini berbanding RM24 juta pada tahun 2018.

"Alhamdulillah dengan kerjasama pegawai kerajaan, Exco dan syarikat milik kerajaan (GLC), kita telah mencapai peningkatan hasil yang ketara iaitu RM41 juta dari hasil tersebut," katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Pahang, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, selepas PRU14, Kerajaan Pahang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha meningkatkan pendapatan negeri.

Menurutnya, ini termasuklah penurunan kuasa kelulusan kebenaran pindah milik dan gadaian tanah dalam usaha memendekkan tempoh urusan.

"Menerusi pendekatan ini kelulusan Kebenaran Pindah Milik dan Gadaian boleh dilaksana dalam tempoh satu atau dua hari saja bagi yang melibatkan suami isteri, anak-beranak dan waris.

"Manakala bagi pindah milik dan gadaian kepada Bumiputera ambil masa 10 hari dan dari Melayu kepada bukan Bumiputera masih tertakluk di bawah bidang kuasa menteri besar.

"Kita juga memberi tumpuan pada tunggakan cukai kerana saya dapati tunggakan yang tidak dikutip terlalu banyak dan ini mesti dipertingkatkan bagi memberi keadilan kepada pemilik yang membayar," katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai cabaran yang dihadapi, beliau berkata pihaknya berusaha untuk mengurangkan hasil tunggakan yang tinggi di samping mengajak pegawai kerajaan berjimat-cermat.

"Sekiranya perkara ini (tunggakan hasil) tidak ditangani dengan serius kemungkinan ia akan bertambah dan kita akan memastikan tunggakan tersebut dapat dikurangkan dan tiada kenaikan berlaku.

Sementara itu, walaupun Kerajaan Pahang merupakan kerajaan pembangkang namun pihaknya mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan

Menurutnya, perbincangan sentiasa dilakukan bersama kerajaan PH demi menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat.

"Kerajaan Pahang dan Persekutuan mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk rakyat. Baru-baru ini, kita telah adakan perbincangan bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

"Dalam pertemuan tersebut kita bersyukur kerana beliau (Zuraida) telah memberi peruntukan tambahan kira-kira RM4juta dan meluluskan beberapa projek yang telah pun dirancang sebelum ini," katanya.