Genap setahun Najib dipenjara

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Hari ini genap setahun Datuk Seri Najib Tun Razak, 70, meringkuk di Penjara Kajang, selepas didapati bersalah atas tuduhan kes menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 23 Ogos tahun lalu, buat pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, Najib menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan selama 12 tahun atas pertuduhan tersebut.

Najib gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda.

Ketika ini, bekas Ahli Parlimen Pekan itu masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-46, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, 76.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas presiden UMNO itu.

Bagaimanapun, kertas rayuan pengampunan tersebut tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-59 yang di Istana Negara pada Mei lalu.

Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai.

Artikel Berkaitan:

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu selepas mendapti pihak pembelaan yang mewakili bekas Presiden UMNO ini gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, dia dihukum penjara 12 tahun, denda RM210 juta, manakala tiga lagi pertuduhan pecah amanah dan tiga kes pengubahan wang haram, dia dihukum penjara masing-masing 10 tahun.

Kesemua hukuman penjara itu ialah berjumlah 72 tahun, namun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak iaitu Najib dipenjara selama 12 tahun.

Tanpa berlengah, Najib merayu atas hukuman tersebut, namun Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib pada 8 Disember 2021.

Setelah pelbagai ‘drama’ berlaku di Mahkamah Persekutuan ketika rayuan terakhir Najib untuk dibebaskan daripada pertuduhan, sabitan dan denda, dia akhirnya dibawa ke Penjara Kajang untuk menerima hukuman.

Ia selepas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (kini Presiden Mahkamah Rayuan) dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah (kini Hakim Besar Malaya) mengesahkan sabitan dan hukuman serta denda itu.

Berdasarkan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada hari yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib kekal dipenjara, mahkamah tidak benar semak kes SRC

Najib bekas PM pertama ke penjara

Najib kekal bersalah

Najib diperintah jalani hukuman penjara

Najib terduduk, Rosmah menangis