28 muntah, pening di sekolah akibat pencemaran bau kimia

Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengesan pencemaran bahan kimia di kawasan Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Rabu
Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengesan pencemaran bahan kimia di kawasan Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Rabu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 24 murid, dua guru dan dua pekerja kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini pada Selasa mengalami pening dan muntah dipercayai akibat pencemaran bahan kimia.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Mohamed berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pencemaran bau kimia itu pada jam 3.13 petang sebelum 17 anggota dihantar ke tempat kejadian.

Beliau berkata, mereka dibantu pakar daripada Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) dari bomba Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bagi mengesan pencemaran bau berkenaan.

"Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu jentera HAZMAT dari BBP Larkin turut dihantar ke tempat kejadian.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati 10 mangsa mengalami pening-pening dan dua murid mengalami muntah. PKO bertindak membuat 'size up' bagi mencari punca bau pencemaran tersebut.

"Semua murid dan guru diarahkan untuk meninggalkan kawasan sekolah dengan segera. PKO bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Beliau berkata, pada jam 8 malam pasukan HAZMAT membuat kerja-kerja pengesanan di dua lokasi berbeza dengan menggunakan alat gas analyser (gasmet)

Katanya, lokasi pertama adalah di tapak kilang haram memproses minyak sawit terpakai dan lokasi kedua di ladang orkid.

"Hasil bacaan yang diterima di kedua-dua lokasi adalah normal dan pada jam 12 tengah hari tadi, pasukan HAZMAT telah membuat pengesanan terakhir dengan menggunakan alat 'scanning imaging gas infrared system' (sigis 2) 'gasmet', 'rad' dan '4 gas meter' di beberapa sektor yang ditetapkan.

"Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) pula telah membantu membuat 'ploting' bagi penduduk yang mempunyai simptom, bagi menentukan keluasan sektor yang akan dibuat pengesanan," ujar beliau.

Jelasnya, pengesanan 'rad' menunjukkan tiada penemuan bahan berbahaya dan pengesanan menggunakan alat 'sigis 2 dan gasmet masih dijalankan.

Menurutnya, fokus utama melibatkan keluasan radius 5 Kilometer di sekitar SK berkenaan memandangkan punca bahan masih belum ditemui dan pada jam 6 petang Rabu, tindakan pengesanan telah dilakukan di lima sektor.

"Tindakan mengunakan 'survey meter' di sektor 1 mendapati bacaan ‘background’ radioaktiviti adalah normal. Di sektor 2, 3 dan 4 tiada menemui apa- apa bacaan bahan kimia dan juga bahan ‘odor’ dengan mengunakan 'sigis 2' dan 'gasmet GT5000'.

"Pengesanan di sektor 5 iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan 'gasmet GT5000' terdapat peningkatan bacaan 'methyl mercaptan' sebanyak 50ppm (osha permissible exposure limit: 10ppm, idlh: 150ppm) manakala menggunakan 'long range detector' tiada apa-apa bacaan didapati," katanya.

Mohd Salleh berkata, setelah membuat penilaian di lokasi terdapat peningkatan bacaan 'methyl mercaptan', mendapati berlaku aktiviti pembakaran tanki IBC yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal dan cecair serta pelupusan bahan pepejal dan sisa cecair di laluan tali air ke sungai berhampiran.

Hasil dari penemuan itu katanya, operasi seterusnya diserahkan kepada pihak JAS Johor untuk tindakan berkaitan.

Tambah beliau, secara keseluruhan seramai 24 murid serta dua pekerja kantin pening dan muntah manakala dua guru mengalami pening.

"Dalam operasi ini seramai 11 kakitangan JAS; 11 kakitangan Majlis Bandaraya Pasir Gudang; lima polis; empat kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah dan 15 kakitangan KKM terlibat.

Operasi bomba tamat pada jam 6 petang tadi," katanya.