Empat kilang makanan dikesan kotor, ada najis tikus

Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memeriksa kebersihan kilang memproses makanan di Batu Berendam. - Foto JKNM
Pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memeriksa kebersihan kilang memproses makanan di Batu Berendam. - Foto JKNM
A
A
A

MELAKA - Sebanyak empat kilang pembuatan makanan diarah tutup berikutan tahap kebersihatan tidak memuaskan termasuk penemuan najis tikus dalam Operasi Bersepadu Kilang yang dijalankan pada 31 Julai lepas dan semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman dalam kenyataan berkata, kesemua kilang di Bukit Rambai, Batu Berendam, Serkam dan Umbai itu diarah tutup maksimum 14 hari atau sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan dan mendapat kebenaran beroperasi semula.

Beliau berkata, enam kompaun bernilai RM15,000 turut dikeluarkan terhadap empat premis berkenaan kerana tidak mempunyai Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) seperti Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Perkilangan Baik (GMP) serta Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP) selain tiada kursus pengendali makanan dan suntikan antitifoid.

"Arahan penutupan kilang terbabit dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 antaranya terdapat najis tikus, puntung rokok bersepah di lantai premis dan terdapat peralatan yang tidak digunakan berada dalam premis seperti longgokan kayu, plastik dan tin kosong selain stor tidak bersih,” katanya.

Menurut Dr Rusdi, operasi disertai 30 anggota Jabatan Kesihatan Melaka itu memeriksa 13 kilang pembuatan makanan di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin dengan 15 kompaun bernilai RM35,200 turut dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana tidak mempunyai Program Jaminan Keselamatan Makanan.

Beliau berkata, sejak 1 Jan tahun ini hingga semalam, pihaknya telah memeriksa 61 kilang pembuatan makanan di negeri ini dengan lima daripadanya diarah tutup dan 37 kompaun bernilai RM48,000 dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana kebersihan tidak memuaskan. - Bernama