Ingatkan pakai kod QR selamat, rupa-rupanya...

Kod QR menjadi gelombang baharu dalam dunia digital di Malaysia sejak kebelakangan ini.
Kod QR menjadi gelombang baharu dalam dunia digital di Malaysia sejak kebelakangan ini.
A
A
A

KOD QR menjadi gelombang baharu dalam dunia digital di Malaysia sejak kebelakangan ini. Bukan sahaja mahu akses maklumat, nak bayar makanan waima di kedai makan di kaki lima pun, sekarang kena imbas kod QR.

Bak kata ramai orang, seseorang dianggap 'kuno' kalau tak pandai pakai kod QR. Disebabkan pandangan itulah, salah sebuah surau di kawasan tempat tinggal Merak Jalanan menjadi mangsa kepada scammer.

Cerita salah seorang AJK surau itu kepada Merak Jalanan, tabung sedekah di tempat ibadahnya sering lesap. Bukan sekali dua, tetapi sudah berpuluh-puluh kali.

Walau dirantai termasuk ditukar dengan tabung besi pun, kecurian masih tetap berlaku.

Selepas bermesyuarat dengan semua AJK, akhirnya mereka memutuskan untuk menggunakan kod QR. Katanya, cara itu lebih selamat, menjimatkan kos lantaran tak perlu beli tabung, wang terus ke akaun dan lebih telus.

"Alhamdulillah, selepas kaedah itu dilancarkan, dalam tempoh tiga hingga empat bulan, wang tabungan semakin bertambah. Kami gembira kerana teknologi ini lebih menggalakkan jemaah menderma," katanya.

Namun, enam bulan selepas itu, rupa-rupanya dalam diam kod QR telah ditukar dengan sambungan terus ke akaun individu tidak bertanggungjawab.

"Kami pelik sebab dalam tempoh sebulan lebih, langsung tiada sumbangan. Disebabkan tak sedap hati, salah seorang AJK cuba scan kos QR itu dan terperanjat bila ia bukan terus ke akaun surau.

"Kami tepuk dahi, terkesima dan tak tahu nak cakap apa. Memang perompak zaman moden ini canggih dan tak takut dengan dosa," katanya dengan nada kesal.

Dalam hati Merak Jalanan cuma berkata: “Kalau manusia sudah terdesak, banyak idea jahat yang akan muncul dalam fikiran mereka. Apa nak jadi dengan manusia sekarang?”