Tindakan gantung keahlian Shahelmey dalam UMNO dibuat secara dalaman - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Penggantungan keahlian UMNO yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya dibuat secara dalaman, kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tindakan dalaman dilakukan adalah mengambil kira semangat Kerajaan Perpaduan memandangkan Shahelmey merupakan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan negeri.

"Untuk beliau di peringkat nasional, masih merupakan ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan manakala di peringkat negeri beliau adalah seorang ADUN yang juga mewakili Kerajaan Perpaduan.

"Walaupun keahlian itu secara automatik gugur kerana beliau telah melakukan kesalahan tetapi kita mempunyai semangat dalam kerajaan Perpaduan maka tindakan itu kita lakukan secara dalaman," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutupan Asia Pacific Coorperative Youth Summit 4.0 (APCYS 4.0) di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai surat rasmi penggantungan keahlian UMNO terhadap Shahelmey yang belum diterimanya sehingga kini dan adakah surat itu dikeluarkan di peringkat UMNO Pusat atau UMNO negeri.

Diminta mengulas lanjut, adakah Shahelmey tidak memerlukan surat rasmi mengenai penggantungannya itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sekali lagi menegaskan bahawa tindakan dibuat secara dalaman.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat belum menerima sebarang surat rasmi mengenai penggantungan keahliannya dalam UMNO.

Sebelum ini, Bung Moktar mengumumkan bahawa keahlian Shahelmey dalam UMNO digantung selama enam tahun susulan tindakannya yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah semasa berlaku kemelut politik pada Januari lalu.

Ketika kemelut berlaku, Shahelmey bersama tiga ADUN UMNO yang lain termasuk Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) bertindak membelakangkan keputusan pimpinan UMNO Sabah yang menarik sokongan daripada Hajiji.

Bagaimanapun, pada 21 Februari lalu, James, Jasnih dan Mohd Arsad mengumumkan keluar daripada UMNO bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).