PRN: Jangan terbangkan dron tanpa kelulusan - Polis

Pada Sabtu, seorang lelaki dipercayai cuba menerbangkan dron di Pendang pada Hari Penamaan Calon sempena pilihan raya negeri (PRN) Kedah.
Pada Sabtu, seorang lelaki dipercayai cuba menerbangkan dron di Pendang pada Hari Penamaan Calon sempena pilihan raya negeri (PRN) Kedah.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis mengingatkan orang ramai termasuk pengamal media agar tidak menerbangkan dron tanpa kebenaran di sekitar kawasan tumpuan orang ramai di sini sepanjang pilihan raya negeri (PRN) sehingga 12 Ogos ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata, ketidakpatuhan terhadap larangan ini boleh dikenakan tindakan tegas dari pihak berkuasa.

"Pengendalian dron tanpa kebenaran boleh mengundang bahaya kepada orang ramai serta harta benda.

"Sebarang perlanggaran kepada aktiviti penerbangan termasuk pengendalian dron ini tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives (CADs)," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, sebarang kelulusan adalah perlu dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Sebelum ini, CAAAM telah mengingatkan orang ramai agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan di kawasan tumpuan ramai sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

CAAM dalam perkongsian di Facebook rasminya memaklumkan larangan berkenaan bagi memastikan kelancaran pilihan raya itu selain mengelakkan kejadian tidak diingini terutamanya membabitkan aspek keselamatan dan sekuriti orang ramai khususnya pengundi.

Larangan ini termasuk pada tiga tarikh penting yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu hari penamaan calon pada 29 Julai, pengundian awal pada 8 Ogos dan hari pengundian pada 12 Ogos, serta sepanjang 14 hari tempoh berkempen selepas hari penamaan calon," katanya.

Pada Sabtu, seorang lelaki dipercayai cuba menerbangkan dron di Pendang pada Hari Penamaan Calon sempena pilihan raya negeri (PRN) Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan oleh pasukan Ops Cantas kerana menerbangkan dron di atas penyokong sewaktu penamaan calon.