Peniaga miliki 92 pakaian tiruan berjenama didakwa

Tertuduh Leow Kuan Yao mengaku tidak bersalah selepas hakim membacakan pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini.
Tertuduh Leow Kuan Yao mengaku tidak bersalah selepas hakim membacakan pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan memiliki 92 pakaian tiruan berjenama antarabangsa yang bernilai RM44,750.

Leow Kuan Yao bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, Kuan Yao, 30, didakwa dalam kawalannya untuk pembekalan telah mempunyai 70 helai baju T pelbagai warna dan saiz serta lima helai baju sejuk jenama Kenzo dan 16 helai baju T dan sehelai baju sejuk jenama Givenchy palsu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Tingkat 2, Centro Mall, 8, Jalan Batu Tiga Lama, 41300 Klang Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: KPDNHEP Selangor gempur premis pakaian tiruan

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shaiful Azhari Jamaluddin mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(B) akta sama.

Jika sabit kesalahan, bekas agen hartanah itu bakal berdepan dengan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan cap dagangan palsu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Shaiful Azhari mencadangkan jaminan RM70,000 dengan mengambil kira harga jualan yang ditetapkan tertuduh bagi baju T Kenzo tiruan RM3,000.

Artikel Berkaitan:

Kuan Yao dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah atas alasan tidak arif mengenai undang-undang berhubung perniagaan yang baru dijalankan dua bulan itu.

Hakim, Rofiah Mohammad menetapkan RM20,000 sebagai jaminan dengan seorang penjamin selain memerintahkan tertuduh menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 11 Jun depan untuk serahan dokumen.

Semalam, Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah dilapor berkata, siasatan awal mendapati pakaian tiruan itu dijual pada harga RM650 hingga RM800 menerusi jualan murah.

"Sekiranya tiada potongan harga, suspek didapati menjualnya sehingga RM3, 000 sedangkan modal untuk pakaian tiruan diperoleh dari China itu serendah RM25 sahaja," katanya.

Operasi yang dijalankan kementerian itu hasil aduan daripada wakil syarikat pemegang Cap Dagangan bagi kedua-dua jenama tersebut.