Sindiket jadikan pangsapuri, rumah teres tempat proses dadah

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (empat, kiri) menunjukkan pistol yang dirampas menerusi serbuan dijalankan pihaknya sebelum ini ketika sidang akhbar di IPK Selangor di sini pada Selasa. - Foto ROSLI TALIB
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (empat, kiri) menunjukkan pistol yang dirampas menerusi serbuan dijalankan pihaknya sebelum ini ketika sidang akhbar di IPK Selangor di sini pada Selasa. - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Menjadikan unit kediaman pangsapuri dan rumah teres sebagai lokasi memproses dadah sebelum diedarkan dibongkar menerusi tujuh serbuan di sekitar negeri ini bermula pada 17 hingga 21 Julai lalu.

Sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini sekali gus membawa rampasan dadah bernilai RM7.94 juta.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik(JSJN) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

"Serbuan dijalankan melibatkan tujuh kawasan antaranya Seri Kembangan, Putra Heights, Kota Damansara, Subang Jaya, Jinjang dan Rawang.

"Seramai lima wanita dan 11 lelaki berumur lingkungan 18 hingga 61 tahun dipercayai ahli sindiket turut ditahan menerusi serbuan dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di IPK Selangor di sini pada Selasa.

Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan seramai 2.823 juta penagih.

"Antara dadah yang dirampas adalah heroin 1.32 kilogram (kg), heroin base (26.77 kg), methamphetamine (37.57 kg), ganja (109 gram), pil eramin five (42.86 kg), kafein (26.85 kg) dan ketamin (42.28 kg).

"Turut dirampas adalah sepucuk pistol jenis Revolver, peralatan serta bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah," katanya.

Menurutnya, bekalan dadah yang diproses serta diedarkan ini untuk pasaran tempatan terutamanya Lembah Klang.

"Saringan awal dijalankan mendapati dua suspek positif dadah jenis THC.

"Semakan rekod mendapati tujuh suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Ujar Hussein, tindakan penyitaan turut melibatkan 24 kenderaan, tiga utas jam tangan berjenama dan wang tunai.

"Nilai keseluruhan melibatkan dadah, peralatan, kenderaan serta wang tunai yang dirampas berjumlah RM19.9 juta.

"Operasi dijalankan ini sekali gus menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan dua sindiket pengedaran dadah," katanya.

Hussein berkata, kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api(Penalti Lebih Berat) 1971 dan tindakan sitaan dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Usaha mengesan saki baki suspek yang masih bebas akan diteruskan bagi memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan," katanya.