‘Perginya patriot berjiwa besi’

Keluarga, tetamu dan kenalan mengiringi jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Klang Gate.
Keluarga, tetamu dan kenalan mengiringi jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Klang Gate.
A
A
A
KUALA LUMPUR – Pemergian bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, 79, kehilangan besar buat negara, beliau diibaratkan sebagai seorang negarawan berjiwa besi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memandu sendiri ke Surau At-Tarbiah untuk memberi penghormatan terakhir dan sempat berdoa sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, di sini.

Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, ketika ditemui turut menzahirkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham yang sentiasa akan diingati kerana jasanya sebagai bekas Menteri Penerangan.

Ahli keluarga, tetamu kehormat dan kenalan turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Salah seorang teman karibnya, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, sebagai seorang kawan rapat, Zainuddin dikenali sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besi.

“Saya sangat terasa dengan pemergian beliau. Zainuddin sahabat yang begitu karib, dia seorang yang ikhlas, berani, berjiwa besi dan seorang patriot yang hebat.

“Dulu Zam pernah menulis artikel di Utusan Malaysia mengenai tokoh politik, Tan Sri Senu Abdul Rahman dia gunakan berjiwa besi, saya rasa gelaran (berjiwa besi) itu juga boleh digunakan untuk beliau sendiri juga. Beliau berpegang teguh kepada prinsip dan kental malah tidak goyah dengan kritikan,” katanya ketika ditemui media selepas solat jenazah.

Tambahnya, Zainuddin secara secara peribadi seorang yang santai, suka ketawa dan gemar bercerita sejarah lama serta ikhlas dalam perjuangannya.

Dr Mahathir mengaminkan doa ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Dr Mahathir mengaminkan doa ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Artikel Berkaitan:


Manakala, anak ketiga Allahyarham, Zairin Zainuddin, 44, mengenang bapanya sebagai wartawan sepanjang hayat dan seorang bapa dan suami yang terbaik buat ibunya.

“Ibu saya (Puan Seri Zaiton Zainol Abidin) lumpuh sejak 1995, walaupun sibuk tetapi sepanjang 23 tahun ini Allahyarham menjaga ibu dengan baik dan sentiasa berada di sisinya.

“Malah pesanan terakhir Allahyarham, meminta kami empat beradik menjaga ibu dengan baik,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Media Prima Berhad yang bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Johan Jaafar menggambarkan Zainuddin seorang wartawan tulen sehingga akhir hayatnya.

“Darah dan jiwanya adalah wartawan tulen, naluri kewartawanannya mengalir sehingga akhir hayatnya.

“Beliau adalah seorang yang komited dan dedikasi. Beliau adalah seorang pejuang dan beliau menegur banyak perkara tanpa risau dan tanpa ragu beliau sangat kritikal tentang apa sahaja dan beliau menumpukan perhatian menghadapi masalah chauvinisme. Ini sebahagian daripada perjuangan Tan Sri Zainuddin,” ujarnya.

Zainuddin meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira 6.40 petang semalam akibat serangan jantung.

Zainuddin yang lebih dikenali dengan nama Zam, dirawat di Hospital Putrajaya sejak 12 November dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan setelah dikesan paru-parunya berair sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan.