Bayi kembar seiras derita paru-paru kronik

Erma Eafah Aisah dan suami, Mohd Syahmi bersama bayi kembar mereka yang kini sedang bertarung nyawa dan memerlukan dana RM38,000 bagi membeli vaksin Synagis Palivizumab untuk meneruskan hidup mereka.
Erma Eafah Aisah dan suami, Mohd Syahmi bersama bayi kembar mereka yang kini sedang bertarung nyawa dan memerlukan dana RM38,000 bagi membeli vaksin Synagis Palivizumab untuk meneruskan hidup mereka.
A
A
A

KOTA BHARU - Pasangan kembar bayi perempuan seiras berusia enam bulan menderita masalah paru-paru kronik dan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM38,000 bagi membeli vaksin Synagis Palivizumab untuk meneruskan hidup mereka.

Ibunya, Erma Eafah Aisah Mat Napi, 35, mendedahkan tanpa vaksin tersebut nyawa anak kembarnya, Nur Alya Aleesya Mohd Syahmi dan Nur Aila Alysa berdepan risiko jangkitan virus Respiratory Syncytial (RSV) yang boleh membawa maut.

"Sejak dilahirkan pada Januari lalu sehinggalah hari ini, kedua-dua mereka masih lagi menerima rawatan di Hospital USM (Hospital Universiti Sains Malaysia) kerana perlu bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen.

"Bayi saya ini pramatang dan dilahirkan ketika usia kandungan baru mencecah tujuh bulan. Ketika itu saya pulang ke Kelantan untuk menghantar barangan bagi persiapan kelahiran," katanya ketika ditemui di Kampung Tini, Pasir Hor di sini pada Jumaat.

Menurut Erma Eafah Aisah, sebelum ini dia dan suami, Mohd Syahmi Abd Rahman, 33, menetap di Kuala Lumpur dan mengusahakan perniagaan dekorasi majlis secara kecil-kecilan.

Menceritakan kembali detik-detik kejadian, ujarnya semasa pulang ke kampung dia mengalami sakit perut dan terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas itu doktor memberitahu waktu untuk bersalin sudah tiba.

Tambahnya, lebih mengejutkan lagi apabila dia dimaklumkan akan melahirkan bayi kembar kerana sebelum ini sudah dua kali pemeriksaan kandungan dilakukan hanya seorang bayi sahaja kelihatan.

Dia memberitahu, disebabkan lahir tidak cukup bulan dan hanya mempunyai berat badan sekitar 750 gram sahaja serta mengalami beberapa masalah kesihatan bayi mereka terpaksa 'ditahan'.

"Saya dan suami mengambil keputusan untuk berpindah ke Kelantan kerana perlu berulang alik setiap hari ke hospital.

"Selain pasangan kembar, kami turut mempunyai seorang lagi anak lelaki yang berusia tiga tahun," ujarnya.

Erma Eafah Aisah memberitahu, dia dan suami kini meneruskan perniagaan dekorasi majlis di sini tetapi tidak mendapat sambutan kerana kurang dikenali.

Erma Eafah Aisah dan suami masih meneruskan perniagaan dekorasi majlis di Kelantan tetapi tidak mendapat sambutan sepertimana di Kuala Lumpur kerana kurang dikenali.
Erma Eafah Aisah dan suami masih meneruskan perniagaan dekorasi majlis di Kelantan tetapi tidak mendapat sambutan sepertimana di Kuala Lumpur kerana kurang dikenali.

Dia berkata, mereka terpaksa berniaga ais krim Malaysia, bihun dan laksa yang diletakkan di kedai kopi untuk kelangsungan hidup serta mengumpul dana bagi membiayai kos rawatan anak kembar selain terpaksa menumpang di rumah keluarga.

Tambahnya, mereka perlu bekerja keras kerana vaksin tersebut perlu segera dibeli selain perlu melunaskan kos rawatan lain yang telah mencecah lebih RM10,000 sepanjang enam bulan di hospital.

Menurut dia, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah memberikan bantuan berjumlah RM5,000.

"Baki selebihnya sedang diusahakan, walaupun perit semua ini kami lalukan demi menyelamatkan nyawa Nur Alya Aleesya dan Nur Aila Alysa.

"Alhamdulillah walaupun mempunyai beberapa masalah kesihatan tetapi kembar kami mempunyai semangat yang kuat dan berat badan mereka juga sudah mencecah 4 kilogram," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 162348552082 Erma Eafah Aisah Mat Napi.