Wan Saiful gagal ketepi kes rasuah RM6.9 juta

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan dua pertuduhan rasuah RM6.9 juta membabitkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Hakim, Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendengar hujahan tambahan daripada peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dan responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan Mohd ‘Afif Ali.

“Permohonan pihak pembelaan ditolak, maka prosiding seterusnya dijalankan sebagaimana yang dijadualkan sebelum ini.

“Mahkamah menetapkan perbicaraan kes dibuat selama lapan hari, bermula 25 hingga 27 Mac; 29 serta 30 April tahun depan dan 20 hingga 22 Mei tahun depan,” kata Rozina.

Beliau berkata, pada 1 Disember depan, mahkamah tetapkan untuk pengurusan kes tersebut.

Semasa prosiding, Rasyidah Murni berkata, seramai 27 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Beliau turut mengesahkan bahawa, semua dokumen telah diserahkan namun senarai saksi akan dibekalkan dalam masa terdekat.

Pada 29 Mei lalu, Wan Saiful memfailkan permohonan untuk membatalkan dua tuduhan itu, dengan alasan pertuduhan dikemukakan ke atasnya adalah cacat.

Semasa hujahan, Amer Hamzah berkata, dua pertuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat kerana tidak menyatakan secara khusus tarikh kesalahan dilakukan.

"Ia hanya menyebut sekitar bulan tertentu tanpa mengemukakan butiran yang lengkap bagi kesalahan yang dipertuduhkan terhadap anak guam saya.

“Pada peringkat ini, kami tidak memohon anak guam dibebaskan daripada pertuduhan, tetapi mahkamah mempunyai kuasa untuk meneliti sama ada pertuduhan itu teratur mengikut peruntukan dalam KTJ (Kanun Tatacara Jenayah)," katanya.

Bagaimanapun, Rasyidah berkata, kedua-dua pertuduhan berkenaan tidak cacat, sebaliknya jelas dan boleh difahami.

"Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) menyatakan tarikh dan masa hendaklah dinyatakan dalam pertuduhan.

“Bagi pertuduhan pertama, masa telah dinyatakan iaitu sekitar April 2022 manakala pertuduhan kedua masa dinyatakan pada Julai hingga September," katanya.

Beliau berkata, pihak pembelaan juga telah dibekalkan dengan dokumen serta notis yang mencukupi bagi membolehkan mereka menyediakan pembelaan.

Selain itu, Rasyidah Murni berkata, permohonan tertuduh adalah tidak berasas dan pramatang kerana saksi-saksi pendakwaan masih belum memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.