Sanusi saman Saifuddin isu REE, MARRIS

Muhammad Sanusi (kiri) dan Saifuddin (kanan).
Muhammad Sanusi (kiri) dan Saifuddin (kanan).
A
A
A

SIK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah memfailkan tuntutan saman terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung dua kes fitnah.

Beliau berkata, surat tuntutan saman fitnah tersebut telah dihantar kepada Saifuddin menerusi e-mel pada malam Khamis dan serahan tangan pada Jumaat.

Menurutnya, tindakan saman tersebut adalah berhubung isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).

“Saya nak umum, saya sudah failkan (saman) dan hantar ‘letter of demand’ kepada Saifuddin atas dua fitnah. Peguam saya e-mel kepada dia malam ini dan esok (Jumaat) kita buat serahan tangan.

“Kalau dia tak jawab dalam tempoh yang diberikan, kita akan mulakan proses saman,” katanya ketika berucap dalam program ceramah ‘Taujihat Pimpinan: Munajat perdana mohon keamanan dan menentang kezaliman’ di Dewan Al-Hana, Sik pada malam Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, perkara itu tidak boleh lagi dibiarkan dan perlu diperbetulkan menerusi tindakan undang-undang.

“Wajib saman! Tak boleh biarkan sebab dia (Saifuddin) tuduh saya pencuri REE, dia juga tuduh saya guna peruntukan MARRIS sebanyak RM1.6 bilion yang sepatutnya duit penyelenggaraan jalan (tetapi dakwa) dibuat benda lain.

“Dia longgok kesalahan Menteri Besar UMNO terdahulu sebelum 2014 atas kepala saya padahal saya tak tahu apa pun, dia ingat dia seorang reti (pandai) ‘menyerang’,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pendedahan Saifuddin berhubung Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah yang menerima kompaun RM500,000 kerana terlibat dalam kejadian mencuri REE di Kampung Chong, Sik.

Dalam ceramah Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak pada 15 Julai, Saifuddin mendakwa kompaun tersebut dikeluarkan pada 4 Oktober tahun lalu oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Datuk Mohd Fauzi Mustaffa (ketika itu) dan dialamatkan kepada Pengerusi MBI, iaitu Muhammad Sanusi.

Sehari selepas itu, Muhammad Sanusi dalam sidang akhbar di Bandar Baharu menyangkal tuduhan Saifuddin, dan menjelaskan MBI Kedah bukan dikompaun atas kesalahan mencuri mineral berkenaan tetapi disebabkan agensi terbabit pemegang permit ladang hutan di kawasan berlaku kecurian selain tegaskan pihak ketiga yang dikenakan kompaun kerana menceroboh dan mencuri REE.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menjelaskan tiada salah guna peruntukan MARRIS sepertimana didakwa Saifuddin.

Baki peruntukan MARRIS yang tidak dibelanjakan sebanyak RM259 juta ada dalam simpanan tetap Kerajaan Negeri dan ia dilaporkan dalam penyata Kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Hutang peneroka Felda: Muhyiddin hantar notis tuntutan kepada Anwar

PM sedia tunjuk bukti hapus hutang peneroka Felda

Anwar, Muhyiddin berjasa dalam penyelesaian hutang peneroka Felda

Hutang Felda: Anwar tunjuk bukti, desak Muhyiddin mohon maaf

Hutang Felda: MOF sahkan Anwar tandatangan FSRA

Dokumen didedahkan bukan perjanjian lupus hutang Felda - Marzuki