PM sedia tunjuk bukti hapus hutang peneroka Felda

Anwar (duduk kerusi, empat dari kiri) bergambar bersama kepimpinan dan penduduk pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Perpaduan Tanjong Karang di Jalan Sekolah Kampung Raja Musa, Tanjong Karang di Kuala Selangor pada Rabu malam.
Anwar (duduk kerusi, empat dari kiri) bergambar bersama kepimpinan dan penduduk pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Perpaduan Tanjong Karang di Jalan Sekolah Kampung Raja Musa, Tanjong Karang di Kuala Selangor pada Rabu malam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia mengemukakan bukti bahawa beliau telah menandatangani kelulusan pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 27 Jun lalu.

Anwar berkata, sekiranya kelulusan itu dibuat oleh beliau, maka beliau menuntut Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf.

"Ini masalah orang politik, senang sahaja tuduh bohong (dan) kemudian dia cabar minta fakta.

"Insya-ALLAH sebelum saya ke Vietnam esok, saya hubungi KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) untuk memberi contoh itu dan saya minta dia (Muhyiddin) harus minta maaf," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Perpaduan Tanjong Karang di Jalan Sekolah Kampung Raja Musa, Tanjong Karang pada Rabu malam.

Ditanya berapa tempoh masa diberikan kepada Muhyiddin untuk memohon maaf secara terbuka, Anwar berkata, perkara itu terserah kepada bekas Perdana Menteri itu asalkan beliau tenang.

"Saya ingat tandatangan (pelupusan hutang peneroka Felda) RM990 juta pada 27 Jun," jelas beliau.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Muhyiddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka Felda selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.

LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai 2023 (Selasa) itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.