Hutang Felda: Anwar tunjuk bukti, desak Muhyiddin mohon maaf

Anwar (kiri) dan Muhyiddin
Anwar (kiri) dan Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan bukti dokumen berkaitan penghapusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Dua lampiran dokumen disertakan iaitu dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) ditandatangani antara Felda, kerajaan Malaysia dan Amanah Raya Berhad serta dokumen berbentuk digital arahan pembayaran kerajaan Malaysia berjumlah RM990 juta.

Dalam dokumen perjanjian FSRA itu, ia ditandatangani Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar bagi pihak Felda.

Manakala, bagi pihak kerajaan, ia ditandatangani Anwar selaku Menteri Kewangan dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbandaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Anwar berkata, ia adalah sebahagian dokumen perjanjian berkait jaminan kerajaan kepada Felda yang telah ditandatangani.

"Saya kemukakan sebahagian dokumen perjanjian FSRA terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda yang telah saya tandatangani.

"Justeru itu, saya mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada saya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Media melaporkan, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri, mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka Felda selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.

LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai 2023 (Selasa) itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Menerusi dokumen berkenaan, firma itu menyatakan, Anwar telah membuat kenyataan fitnah dengan niat mencemar, menjatuhkan dan/atau merosakkan reputasi Ahli Parlimen Pagoh itu.