Hutang peneroka Felda: Muhyiddin hantar notis tuntutan kepada Anwar

Anwar (kiri) dan Muhyiddin (kanan)
Anwar (kiri) dan Muhyiddin (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.

LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai 2023 (Selasa) itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Menerusi dokumen tersebut, firma itu menyatakan, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah membuat kenyataan fitnah dengan niat mencemar, menjatuhkan dan/atau merosakkan reputasi Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Pada 7 Julai 2023, semasa majlis sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Serdang, Datuk Seri (Anwar) telah membuat kenyataan-kenyataan palsu dan mengelirukan berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda.

“Keseluruhan ucapan Datuk Seri di majlis sambutan Hari Peneroka Felda 2023 itu telah diterbitkan secara siaran langsung melalui sidang 'Facebook Live' akaun Facebook milik Datuk Seri sendiri yang menggunakan nama Anwar Ibrahim dan telah dipetik semula dan disebarkan secara meluas oleh media massa dan media sosial. Setakat 18 Julai 2023, terbitan tersebut telah ditonton dalam jumlah lebih 63,900 kali.

“Walaupun mengetahui penjelasan Anakguam (Muhyiddin) kami pada 8 Julai 2023, Datuk Seri masih meneruskan fitnah terhadap Anakguam kami di sesi dialog di Universiti Utara Malaysia (UUM),” menurut dokumen berkenaan.

Dalam pada itu LOD terbabit turut menuntut Perdana Menteri untuk mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam selain menarik balik kesemua kenyataan fitnah dan memadamkan penyiaran dari akaun Facebook serta laman web, platform ia disiarkan.

Anwar juga dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, menyiarkan yang sama di akaun Facebook dan semua platform kenyataan berkenaan disiarkan.

Selain itu Muhyiddin turut menuntut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memberi aku janji untuk tidak akan mengulangi kenyataan berkenaan atau membuat apa-apa kenyataan lain dan/atau lanjut yang memfitnah.

Selain itu, tuntutan berkenaan juga melibatkan permohonan maaf dan aku janji yang dibuat tertakluk kepada kepuasan dan/atau syarat-syarat seperti dipersetujui oleh Muhyiddin selain Anwar membayar ganti rugi dalam jumlah yang dipersetujui Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Sekiranya Datuk Seri gagal untuk mematuhi tuntutan-tuntutan di sini dalam tempoh yang dinyatakan di atas, kami diarahkan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri termasuk tidak terhad kepada menuntut ganti rugi dan relif injunksi tanpa notis lanjut.

“Semua hak Anakguam kami adalah dirizabkan sepenuhnya,” menurut dokumen berkenaan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Anwar menjelaskan bahawa Muhyiddin hanya mengumumkan mengenai pelupusan hutang peneroka namun tidak menyelesaikan perkara berkenaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Anwar berkata, beliau sebagai Menteri Kewangan baharu sahaja menandatangani dokumen kelulusan terbabit pada akhir Jun baru-baru ini.