Hutang Felda: MOF sahkan Anwar tandatangan FSRA

Kementerian Kewangan
Kementerian Kewangan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) telah ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lalu.

Menerusi kenyataan pada Khamis, MOF berkata, perjanjian itu melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.

"Di bawah perjanjian, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun," kata kementerian itu.

Dalam pada itu, MOF turut mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai lalu selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.

"Penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada Felda merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan agensi itu antara lain mengambil kira impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan berikutan penghapusan hutang peneroka," ujar MOF.

Isu pelupusan hutang Felda menimbulkan polemik selepas Anwar di pentas Hari Peladang mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.

Sebelum itu pada tahun 2021, Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau Felda.