Bekas pengerusi, bendahari PWBSM didenda RM3,500 guna baucar palsu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang bekas Pengerusi Persatuan Wanita Berjaya Sejati Malaysia (PWBSM) dan bekas bendaharinya menggunakan dua baucar bayaran palsu bagi peruntukan dana di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) berjumlah RM1,600 mengundang padah apabila mereka didenda masing-masing RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

J Lalitha Mani, 48, (pengerusi) dan B Shivaranjani, 42, (bendahari) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua wanita itu dikenakan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut dua pertuduhan itu, mereka didakwa bersama-sama menggunakan dua dokumen palsu iaitu baucar ‘Volunteer Services For Program Pemerkasaan Wanita India’ bagi peruntukan dana di bawah Mitra bertarikh 11 Oktober yang dikeluarkan oleh PWBSM masing-masing bernilai RM800.

Dokumen itu kemudiannya diberi kepada Priscilla Rachael, 27, dan G Govindan, 44, di Mitra, Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya pada 26 Oktober 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 28 Julai 2020, Lalitha Mani yang merupakan setiausaha merangkap Pengerusi PWBSM manakala Shivaranjani bendahari persatuan berkenaan ketika itu, telah menandatangani satu perjanjian antara kerajaan (Mitra) dan PWBSM di bawah Program Pembangunan Keusahawanan dan Kerjaya Masyarakat India bagi tahun 2020 untuk mendapatkan geran kewangan Mitra berjumlah RM1.1 juta.

Pihak Mitra telah membayar keseluruhan jumlah geran tersebut antara 12 Ogos 2020 hingga 19 Januari 2021 secara berperingkat sementara pihak PWBSM menyediakan laporan berkala berkaitan program terbabit.

Pada 26 Oktober 2020, Shivaranjani telah menghantar Laporan Berkala Prestasi Pelaksanaan Program Pemerkasaan Wanita anjuran PWBSM bertarikh 20 Oktober 2020 yang mengandungi dua baucar bayaran palsu kepada pihak Mitra.

Hasil siasatan mendapati, penerima baucar bayaran iaitu Priscilla dan Govindan tidak pernah menerima bayaran atau menandatangani baucar berkenaan pada 11 Oktober 2020.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Noor Syafina Mohd Radzuan memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira kes yang menggunakan dokumen palsu ini kerap berlaku.

Bagaimanapun, peguam, Devanandan S Subramaniam yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu agar Lalitha dan Shivaranjani dikenakan hukuman minimum.

"Lalitha kini bekerja sebagai guru tuisyen, perlu menanggung tiga anak manakala Shivaranjani baharu sahaja bekerja sebagai seorang eksekutif perolehan tenaga kerja," katanya.