Terpaksa naikkan harga nasi ayam selepas 20 tahun jual RM1.90

(Gambar kiri) Yusniraaida dan suami, Amran di kedai mereka yang beroperasi di Kuala Besut, Terengganu. (Gambar kanan) Pekerja kedai nasi ayam menyiapkan hidangan untuk pelanggan.
(Gambar kiri) Yusniraaida dan suami, Amran di kedai mereka yang beroperasi di Kuala Besut, Terengganu. (Gambar kanan) Pekerja kedai nasi ayam menyiapkan hidangan untuk pelanggan.
A
A
A

BESUT - Peniaga nasi ayam di Kuala Besut, dekat sini akhirnya terpaksa menaikkan harga jualan kepada RM3 selepas 20 tahun mengekalkan harga RM1.90 bagi setiap bungkus hidangan yang dijual.

Yusniraaida Mat Yusof, 44, berkata, langkah itu diambil sejak hujung tahun lalu kerana sudah tidak mampu menampung kenaikan kos bahan mentah yang tinggi ketika ini.

"Waktu saya dan suami mula-mula jual nasi ayam ni sejak lebih 20 tahun lalu, harga ayam pada masa tu tak terlalu mahal. Masih boleh menampung kos modal untuk bahan mentah lain.

"Lagipun ramai pelanggan yang datang sebab bila kita jual murah ni ramai mampu beli terutama golongan B40. Bila ramai 'customer support' dan jualan habis akan ada untung.

"Kalau jual mahal, sikit sahaja untung dan secara automatik tak boleh nak dapatkan balik modal pusingan berniaga," katanya yang mengusahakan perniagaan bersama suami, Amran Zaid, 52.

Yusniraaida memberitahu, modal bagi kos bahan mentah yang dikeluarkan setiap hari lebih RM2,000 berbanding sekitar RM600 sebelum ini.

"Dalam sehari kita akan dapatkan 90 hingga 100 ekor ayam. Harga ayam sekarang pun dah naik sekali ganda. Belanja untuk beli ayam sahaja dalam RM1,400 hingga RM1,500.

"Belanja untuk sayur pula dalam RM150 juga. Kalau dulu semua bahan-bahan ini harganya tidak lah tinggi sangat. Sebab tu kami mampu bertahan jual nasi ayam RM1.90," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Ibu kepada lima anak itu memberitahu, dia agak terkilan dan sedih apabila mengenangkan sikap segelintir pelanggan yang mengecam perubahan harga tersebut sedangkan ia dilihat masih murah berbanding harga di kedai-kedai lain.

Nasi ayam RM3 yang dijual Yusniraaida di premisnya yang beroperasi di Kuala Besut, Terengganu.
Nasi ayam RM3 yang dijual Yusniraaida di premisnya yang beroperasi di Kuala Besut, Terengganu.

"Ada pelanggan yang merungut dan terkejut apabila kita naikkan harga. Pada masa yang sama ada juga pelanggan yang faham. Tapi kami tak boleh buat apa kerana tak mampu untuk terus bertahan dengan harga lama.

"Sebelum ini ketika jual harga RM1.90, kami ada 12 pekerja. Sekarang hanya tinggal enam pekerja sahaja. Kami pun perlu memikirkan bayaran gaji pekerja, kos sewa kedai dan sebagainya," katanya yang kini telah berpindah dari lokasi jualan lama dan beroperasi dekat stesen minyak di sini.

Kedai Nasi Ayam Kuala Besut RM3 yang diusahakan Yusniraaida beroperasi bermula jam 11 pagi sehingga jam 9 malam setiap hari kecuali pada Jumaat.

Katanya, terdapat tiga jenis nasi ayam dijual iaitu nasi ayam biasa (RM3), nasi ayam 'special' (RM5) dan nasi ayam 'double' RM7.

"Nasi ayam biasa ini untuk seorang makan, ada sayur dan sambal. Nasi ayam special pula ada lebih nasi dan dua ketul ayam dan nasi ayam doube pula ada dua nasi dan tiga ketul ayam.

"Nasi ayam double ni kalau ikutkan lebih daripada mencukupi untuk dimakan oleh dua orang," katanya yang turut menerima pelanggan dari Kelantan.

Perniagaan Yusniraaida tular sejak Ahad selepas anaknya, Suhaida Sulaiman, 22, berkongsi di laman sosial.

Kata Suhaida, dia terdetik untuk berkongsi mengenai jualan nasi ayam itu setelah ibunya memberitahu ada pelanggan yang mempertikaikan harga yang dinaikkan kepada RM3 sehingga rasa tertekan.

"Walaupun jual RM3, masih ada yang kecam mahal. Kadang rasa 'down' nak berniaga. Korang rasa mahal lagi ke harga tu.

"Kami amat jaga dan pentingkan kualiti dan kuantiti. Tengoklah nasi pun banyak, ayam pun besar-besar tau.

"Mujurlah masih ada yang memahami dan 'support' kami. Korang yang belum rasa jom singgah Kedai Nasi Ayam RM3 Kuala Besut. Insya-ALLAH sedap dan puas hati," tulisnya di laman TikTok.