Polis cekup 15 along, empat scammer warga Singapura

Kamarul Zaman menunjukkan tiga daripada empat kaki scam warga Singapura pada sidang akhbar berkenaan pada Khamis.
Kamarul Zaman menunjukkan tiga daripada empat kaki scam warga Singapura pada sidang akhbar berkenaan pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 15 individu pada Khamis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memberikan pinjaman wang tanpa lesen atau along dalam serbuan serentak di 13 lokasi sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru Utara sekitar jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 22 hingga 43 tahun membabitkan 12 lelaki dan tiga wanita.

"Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai ahli sindiket sama yang dikenali sebagai kumpulan Ah Hao dan pernah diberkas sebelum ini.

"Kesemua suspek ini merupakan ahli kepada satu sindiket yang sudah lama aktif dalam kegiatan along yang mana mereka terbabit dengan kejadian-kejadian mengugut dengan menyimbah cat, membakar kenderaan serta rumah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Jumaat.

Beliau berkata, dalam serbuan itu juga, polis turut merampas tujuh kenderaan pelbagai jenis berserta kunci kereta, 44 telefon bimbit pelbagai jenama, 22 kad ATM pelbagai bank, lima komputer riba pelbagai jenama, empat cop pelbagai nama syarikat, 19 set dokumen berkaitan pinjaman dan dua tablet.

Kesemua suspek kini direman tiga hari sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, polis turut menahan empat warga Singapura melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 27 hingga 40 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan pekerjaan (job scam), hasil serbuan di sebuah premis di Taman Perling pada 26 Jun lalu.

Katanya, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas satu komputer riba, lima telefon bimbit, kad akses dan sejumlah wang tunai dalam Ringgit Malaysia dan dolar Singapura.

"Kesemua suspek telah direman sehingga 29 Jun 2023 dan setelah tamat tempoh reman berkenaan, tiga suspek lelaki telah diserahkan kepada polis Singapura (dua pada 30 Jun dan seorang lagi pada 5 Julai 2023) setelah diambil tindakan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.

"Kesemua mereka disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan di negara berkenaan yang telah mengakibatkan nilai kerugian melebihi SGD$ 2.9 juta.

"Tangkapan yang dilakukan adalah hasil perkongsian maklumat dan kerjasama erst antara PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan juga polis Singapura. Kita akan terus bekerjasama dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.