LTdL: 'Keutamaan kami penuhi kriteria UCI' - Emir

Emir - Foto Agensi
Emir - Foto Agensi
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) telah membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan laluan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya harus realistik dalam membuat keputusan berkenaan laluan lapan peringkat perlumbaan tahun ini.

“Dalam sidang akhbar pelancaran LTdL 2023, semua sudah sedia maklum kami diberikan peruntukan sebanyak RM8 juta, selebihnya nanti (wang penajaan) masih dalam rundingan.

“Jadi dengan jumlah RM8 juta yang diperuntukkan itu, kami telah membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya bagi menganjurkan perlumbaan LTdL tahun ini.

“Jika diberi pilihan, sudah pasti saya akan memasukkan Langkawi dalam laluan LTdL tahun ini tetapi kami perlu realistik,” kata Emir kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Terdahulu, beberapa pihak mempersoal keputusan MSN selaku penganjur yang tidak menyenaraikan Langkawi dalam laluan peringkat perlumbaan LTdL 2023.

Malah, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah turut meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khususnya MSN mengkaji semula keputusan yang dibuat itu.

“Perkara paling penting bagi saya buat masa ini adalah keutamaan dalam memenuhi kriteria yang telah ditetapkan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) dalam penganjuran LTdL.

“Bagi mengikuti kriteria UCI, sekurang-kurangnya tiga World Teams dan tujuh Pro Teams bertanding selain perlumbaan LTdL harus disiarkan secara langsung.

“Mengikut perkiraan bajet kami, kira-kira RM4 juta iaitu separuh daripada peruntukan RM8 juta dibelanjakan bagi memenuhi kriteria yang telah ditetapkan pihak UCI,” katanya.

Bagi edisi ke-27 tahun ini yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September depan, MSN diberikan peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM8 juta.

Namun, peruntukan itu dianggap kecil memandangkan penganjuran LTdL sebelum ini memerlukan sekurang-kurangnya dana antara RM14 juta hingga RM15 juta.

“Untuk membawa perlumbaan LTdL ke Langkawi, kami memerlukan tambahan peruntukan kira-kira RM1.2 juta hingga RM1.5 juta kerana faktor kos logistik yang cukup tinggi.

“Jadi saya tidak mahu mengambil risiko berbelanja di luar kemampuan bajet yang ada sehingga meninggalkan bebanan hutang dalam penganjuran LTdL akan datang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Mana mungkin tiada Langkawi dalam LTdL'

Tiada 'pilih kasih' laluan LTdL 2023

LTdL 'tanpa' Langkawi?

Langkawi sah tiada dalam LTdL 2023

'Ini hidup mati LTdL' - Abu Samah

Emir ada formula lonjak LTdL di pentas gemilang

MSN buat keputusan tepat