Langkawi sah tiada dalam LTdL 2023

Hannah (tengah) melancarkan LTdL 2023 di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya sebentar tadi.
Hannah (tengah) melancarkan LTdL 2023 di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya sebentar tadi.
A
A
A

[KEMAS KINI] STATUS Langkawi pada perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 akhirnya terjawab apabila pulau legenda itu 'disisihkan' daripada edisi ke-27 tahun ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam sidang akhbar sejurus pelancaran LTdL 2023 di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya sebentar tadi.

“Perlumbaan LTdL tahun ini melibatkan 11 negeri (di Semenanjung Malaysia) kecuali Perlis. Jika kita melibatkan Langkawi, ia akan menambahkan kos (penganjuran).

“Ini bukan kali pertama (Langkawi tiada dalam senarai laluan LTdL) tetapi nama Langkawi is still there. Ini (ketiadaan Langkawi dalam senarai laluan LTdL) bukan perkara luar biasa.

“Kita telah mengambil kira aspek logistik... kos (penganjuran) tinggi. Laluan di Langkawi bukan comfortable yang sesuai untuk host (LTdL tahun ini),” katanya.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab.

LTdL 2023 akan kembali dikendalikan MSN dengan membabitkan lapan peringkat perlumbaan merentasi 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan sejauh 1,280 kilometer (km).

MSN memiliki rekod baik selaku penganjur LTdL daripada tahun 2012 hingga 2014 dan diberikan pengiktirafan anugerah Excellence Level of Organisation oleh badan induk, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Senarai pasukan yang mengambil bahagian pada edisi kali ini akan dimuktamadkan tidak lama lagi, membabitkan penyertaan minimum tiga pasukan dunia (UCI World Team) dan tujuh pasukan Pro (UCI Pro Team).

Turut bakal menghiasi LTdL 2023 yang masih kekal dengan status Pro Series adalah 11 pasukan benua (UCI Continental) dan wakil tunggal tempatan - pasukan kebangsaan Malaysia.

Mengikut jadual, LTdL 2023 bakal berlangsung dari 23 hingga 30 September depan dengan Kerteh, Terengganu menjadi lokasi pembuka tirai peringkat pertama dan berakhir peringkat kelapan di Kuala Lumpur.

LALUAN LTDL 2023

Peringkat 1 (Sabtu, 23 September)

Kerteh ke Kuala Terengganu - 184.4km

Peringkat 2 (Ahad, 24 September)

Kuala Terengganu ke Kota Bharu - 186.2km

Peringkat 3 (Isnin, 25 September)

Jeli ke Baling - 177.1km

Peringkat 4 (Selasa, 26 September)

Bukit Mertajam ke Meru Raya - 140km

Peringkat 5 (Rabu, 27 September)

Slim River ke Genting Highlands - 133.3km

Peringkat 6 (Khamis, 28 September)

Karak ke Melaka - 176.6km

Peringkat 7 (Jumaat, 29 September)

Muar ke Seremban 2 - 125.7km

Peringkat 8 (Sabtu, 30 September)

Setia Alam ke Kuala Lumpur - 157km