Salah mungkin tidak akan angkat kaki jika Slot tinggalkan Liverpool

BEKAS pemain tengah Liverpool, Danny Murphy mendakwa Mohamed Salah mungkin memilih untuk kekal di Anfield hanya jika kelab itu mendapat sentuhan pengurus baharu memandangkan hubungan bintang Mesir itu dengan Arne Slot dilaporkan masih samar.
Salah mengalami kemerosotan prestasi musim ini menyebabkan beliau beberapa kali disisihkan ke bangku simpanan.
Situasi tersebut mencetuskan ketegangan apabila penyerang itu secara terbuka mendakwa kelab seolah-olah menganiayanya dan mengakui tidak mempunyai sebarang hubungan baik dengan Slot.
Susulan itu, spekulasi mengenai perpindahannya semakin kencang, terutamanya memandangkan Salah memiliki kontrak yang lumayan.
Walaupun beliau masih kekal buat masa ini, terdapat jangkaan bahawa dia bakal meninggalkan kelab pada musim panas ini.
Bagaimanapun, Murphy percaya perubahan di kerusi pengurus mungkin mampu menyuntik nafas baharu buat Salah.
"Adakah ini musim terakhir Mo Salah di Anfield? Saya rasa begitu. Saya tahu kontraknya masih panjang, tetapi melihat kepada apa yang berlaku, prestasi pasukan dan prestasinya sendiri, saya rasa mengejutkan jika dia kekal setahun lagi.
"Satu-satunya pengecualian adalah jika pengurus baharu masuk dan benar-benar mahu membina pasukan di sekelilingnya, cuba mendapatkan satu tahun lagi daripadanya dan mengadakan perbincangan itu.
"Saya tidak mengenali Mo Salah secara peribadi, tetapi mungkin beliau akan mendapat dorongan dan semangat baharu dengan pengurus yang berbeza," kata Murphy.
Liverpool kini mengalami kemerosotan ketara biarpun telah memecahkan rekod perbelanjaan British pada musim panas, malah berisiko terlepas saingan Liga Juara-Juara.
Menurut laporan The Athletic, pihak pengurusan tertinggi Liverpool masih menaruh kepercayaan kepada Slot. Walaupun tekanan semakin memuncak, hubungan pengendali dari Belanda itu dengan Pengarah Sukan, Richard Hughes kekal utuh.
Pihak pengurusan turut bersimpati dengan cabaran yang dihadapi Slot, termasuk perubahan besar-besaran dalam skuad dan pelbagai isu luar jangka yang melanda pasukan.
Musim lalu, lonjakan Liverpool dijana ketajaman Salah yang meledak 34 gol—jumlah tertinggi sejak musim pertamanya, namun, musim ini menyaksikan dia bergelut untuk mendapatkan jaringan.
Liga Pro Saudi yang sebelum ini gagal mendapatkan khidmatnya, dilaporkan bersedia kembali memburu tandatangan bintang itu pada musim panas ini.
"Saya rasa ia akan menjadi satu kejutan besar jika beliau masih menyarung jersi Liverpool pada awal musim depan," ujar Murphy.
Ringkasan AI
- Danny Murphy mendakwa Mohamed Salah mungkin kekal di Liverpool jika ada pengurus baharu
- Salah mengalami kemerosotan prestasi musim ini
- Salah memiliki ketegangan dengan pengurus, Arne Slot
- Spekulasi mengenai perpindahan Salah semakin kencang
- Prestasi Liverpool merosot walaupun memecahkan rekod perbelanjaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
