MSN buat keputusan tepat

Hannah (tengah) bersama Abu Samah (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran LTdL 2023 di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya pada Selasa.
Hannah (tengah) bersama Abu Samah (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran LTdL 2023 di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) membuat keputusan tepat apabila tidak menyenaraikan Langkawi dalam laluan perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, MSN sudah tentu ‘berkira-kira’ sebelum memutuskan Langkawi tiada dalam peta LTdL kali ini.

“Saya percaya MSN selaku penganjur LTdL mengambil kira semua aspek termasuk kos penganjuran dalam menentukan setiap peringkat laluan perlumbaan tahun ini.

“Dalam situasi ekonomi sekarang, saya rasa ini bukanlah masa yang sesuai untuk LTdL diadakan di Langkawi kerana ia akan melibatkan kos yang agak tinggi.

“Dengan peruntukan RM8 juta yang ada sekarang, jumlah itu agak kecil. Sekurang-kurangnya kita perlukan RM15 juta, baru dapat tampung kos jika LTdL diadakan di Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sukan Sinar selepas majlis pelancaran LTdL 2023 yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Menara KBS, Putrajaya pada Selasa.

Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
Laporan Sukan Sinar pada Rabu.

Bagi edisi ke-27 tahun ini yang bertemakan Beat The Heat, MSN sekali lagi diberi tanggungjawab selaku penganjur dengan kos diperuntukkan sebanyak RM8 juta.

Namun, peruntukan itu dianggap kecil memandangkan penganjuran sebelum ini memerlukan sekurang-kurangnya dana RM14 juta hingga RM15 juta.

Begitupun, Hannah memaklumkan, MSN akan cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan LTdL 2023 berlangsung dalam suasana meriah menerusi peruntukan RM8 juta yang diluluskan kabinet.

“Secara peribadi saya berpandangan, walaupun Langkawi tiada dalam senarai laluan LTdL tahun ini, saya percaya kemeriahan kejohanan itu tetap ada di setiap peringkat nanti.

“MSN juga pernah memiliki pengalaman menganjurkan LTdL sebelum ini, jadi saya rasa tidak ada masalah buat mereka untuk memeriahkan kejohanan pada tahun ini,” ujar Abu Samah.

Kejohanan bertaraf antarabangsa dengan usahasama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan PKBM itu dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September depan.

Edisi kali ini merentasi 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia melibatkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan 1,280 kilometer (km) yang akan bermula di Kerteh, Terengganu dan berakhir di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN:

LTdL 'tanpa' Langkawi?

Langkawi sah tiada dalam LTdL 2023

'Ini hidup mati LTdL' - Abu Samah