Lelaki jadi keldai akaun kepada along ditahan

Polis menahan seorang lelaki dipercayai keldai akaun kepada sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along membabitkan pinjaman sebanyak RM2,676,000, pada Khamis lepas. - Gambar hiasan
Polis menahan seorang lelaki dipercayai keldai akaun kepada sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along membabitkan pinjaman sebanyak RM2,676,000, pada Khamis lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

BALIK PULAU - Polis menahan seorang lelaki dipercayai keldai akaun kepada sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along membabitkan pinjaman sebanyak RM2,676,000, pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu merupakan pemilik akaun yang digunakan oleh sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen untuk urusan pinjaman tersebut, dia bukan along cuma keldai akaun kepada sindiket tersebut.

"Polis berjaya mengesan suspek itu selepas seorang lelaki membuat laporan polis telah menerima ugutan daripada sindiket along tersebut selepas mangsa gagal membuat bayaran balik pinjamannya dengan sindiket berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa telah meminjam sebanyak RM2,676,000 sejak 30 Disember 2021 hingga 19 Julai 2022 dan telah membuat bayaran balik pinjaman sebanyak RM1,608,000 ke sembilan akaun bank berlainan secara berperingkat.

Bagaimanapun, peminjam terbabit gagal membayar balik pinjaman tersebut sejak tahun lepas dan berikutan itu, mangsa telah menerima pelbagai ugutan daripada sindiket along tersebut sebelum membuat laporan polis.

Kamarul Rizal berkata, susulan penahanan lelaki itu, polis giat mengesan rangkaian sindiket along tersebut untuk siasatan lanjut.

"Lelaki yang ditahan itu direman untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Kamarul Rizal berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan wanita berumur 34 tahun sebelum merampas 160 bungkusan plastik mengandungi air ketum bernilai RM1,600 di Jalan Sungai Pinang, pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil maklumat dan risikan dijalankan, polis mengekori sebuah kereta di Jalan Sungai Pinang sebelum menahan kenderaan dinaiki pasangan suami isteri itu dan pemeriksaan menemukan 160 bungkusan atau 12,000 liter air ketum.

"Lelaki dan wanita tempatan itu dipercayai menjalankan kegiatan menjual air ketum di sekitar daerah Barat Daya sejak beberapa minggu lepas dah mereka kini direman untuk siasatan lanjut," katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - Bernama