Tragedi kepala air: Mayat kesembilan disahkan Muhammad Fikri

Hanyan (tengah) bersama Azman (kanan) ketika sidang media.
Hanyan (tengah) bersama Azman (kanan) ketika sidang media.
A
A
A

KEMAMAN - Mayat kesembilan mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini disahkan sebagai Muhammad Fikri Saliman, 24.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, dengan penemuan mayat kesembilan itu menjadikan mangsa terakhir yang masih hilang ialah Putri Nur Fatin Karim, 14.

"Mayat kesembilan berkenaan disahkan melalui hasil laporan cap jari daripada Bukit Aman. Pengecaman mayat Muhammad Fikri dibuat menggunakan kaedah tersebut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

"Pengesahan itu dilakukan kerana keadaan mayat Muhammad Fikri terlalu uzur selepas tujuh hari bagi membolehkan pengesahan secara fizikal dibuat oleh waris," katanya kepada pemberita dalam sidang media pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hanyan berkata, mayat mangsa tragedi tersebut akan diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.

Jelasnya, jenazah akan dikafankan selepas Isyak dan dijangka bertolak ke Batu Pahat, Johor kira-kira jam 10.30 malam.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat telah ditangguhkan atas faktor cuaca tidak mengizinkan.

Menurutnya, laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada petang ini turut memaklumkan bahawa akan berlaku hujan lebat di kawasan hulu di lokasi pencarian.

"Operasi akan disambung semula esok jam 7.30 pagi secara berpusat tertumpu di 'point of interest' di ketiga-tiga sektor selain akan lebihkan perincian di setiap kawasan yang telah dikenal pasti," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan satu lagi mangsa yang belum ditemui telah tertimbus pasir sungai.

"Ini berdasarkan kepada penemuan-penemuan mayat sebelum ini. Jadi, kita akan tugaskan beberapa kumpulan untuk buat 'excavation' di beberapa tempat yang wujud beting pasir yang baru di lokasi SAR selain menggunakan anjing pengesan dari Unit K9 untuk membantu pencarian," jelas beliau.

Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu keluarga tersebut dari Batu Pahat, Johor dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air.

Setakat ini, sembilan jasad mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak enam hari operasi pencarian dijalankan bermula Ahad lalu.

Jasad Allahyarham Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat kesembilan ditemukan

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata

'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'