'Jeram Air Putih bukan tempat berkelah' - Penduduk

Gambar kecil: Mohd Riduan, Mohd Shukri, Ahmad Saifudin
Gambar kecil: Mohd Riduan, Mohd Shukri, Ahmad Saifudin
A
A
A

KEMAMAN - "Jeram Air Putih bukan kawasan berkelah, itu lubuk rezeki orang kampung cari ikan," kata seorang penduduk Kampung Air Putih, Mohd Riduan Che Hasan, 36.

Menurutnya, kawasan jeram berkenaan tidak sesuai untuk melakukan sebarang aktiviti air terutama mandi-manda ketika musim hujan selain faktor geografi yang berbukit bakau dan berpaya.

Dia berkata, penduduk tempatan sememangnya tidak akan mengunjungi kawasan tersebut lebih-lebih lagi pada musim hujan lebat kerana mengetahui risiko berlakunya fenomena kepala air.

"Penduduk kampung pun takut nak ke sana pada musim hujan lebat sebab tahu ada kejadian kepala air akan berlaku. Kawasan jeram itu sebenarnya sukar untuk dilalui oleh kenderaan biasa.

"Dahulu hanya kereta pacuan empat roda boleh lalu tetapi disebabkan jalan itu sudah elok maka kenderaan biasa pun boleh masuk. Jeram tersebut bukan kawasan perkelahan dan sepatutnya orang luar tak boleh masuk.

"Kami pergi ke sana pun hanya untuk cari rezeki selain mula tinggalkan kawasan itu apabila lihat keadaan awan mula gelap dan akan cepat-cepat pergi dari situ sebab tahu akan hujan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Seorang lagi penduduk kampung, Mohd Shukri Bakri, 32, berkata, dia berada pada hari sama sebelum berlakunya tragedi membabitkan 10 individu tersebut, namun sudah meninggalkan tempat berkenaan setelah mendapati keadaan cuaca sudah mula tidak menentu.

"Saya keluar awal pagi turun ke kawasan sungai untuk cari ikan. Masa saya tengok keadaan mula gelap dan nak hujan, saya cepat-cepat keluar dari kawasan berkenaan.

"Semasa itu tak tahu akan ada satu keluarga pergi ke kawasan jeram tersebut. Apabila saya dah tengok keadaan cuaca sudah mula tidak baik memang dah terus balik dan tinggalkan kawasan tersebut dengan segera, " ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Saifudin Saat, 52, berkata, ramai pengunjung tidak mengetahui risiko fenomena kepala air di kawasan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Justeru, dia meminta sepatutnya ada papan tanda amaran diletakkan sebagai tanda peringatan kepada pengunjung yang ingin pergi ke kawasan itu supaya tidak memasuki kawasan berkenaan pada musim hujan.

"Selain itu orang luar perlu melaporkan kepada pihak berkuasa berhampiran sekiranya ingin memasuki kawasan itu sebab kejadian lemas di situ kebanyakannya melibatkan orang luar.

"Kami orang kampung sudah biasa dan sepatutnya tak menjadi masalah. Itu tempat nak cari rezeki dan orang perlu waspada, bila hujan jangan sesekali masuk ke kawasan itu sebab memang ada kejadian kepala air akan berlaku," jelasnya.

Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Setakat ini lapan mangsa ditemui lemas termasuk termasuk dua mangsa ditemui pada Ahad iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.