'Mak tunggu Azizah balik ya'

Halimah (kiri) di samping suaminya, Eiyi di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, pada Selasa.
Halimah (kiri) di samping suaminya, Eiyi di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - 'Mak tunggu Azizah balik ya esok'. Itu pesanan terakhir Allahyarham Azizah Eiyi, 40, kepada emaknya, Halimah Kasim, 63, sebelum bertolak ke Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di Kemaman pada Sabtu lalu.

Menurut Halimah, arwah anaknya sekeluarga sempat singgah di rumahnya di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan sebelum bertolak ke kawasan perkelahan itu.

"Mereka ada pelawa untuk ikut bersama tetapi saya terpaksa menolak kerana tidak dapat sertai mereka yang bercadang untuk bermalam.

"Lagipun, suami (Eiyi Johari, 60) pula bekerja dan ketika mereka bertolak itu dia tiada di rumah," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pada Selasa.

Halimah berkata, dia tidak menyangka ungkapan terakhir Allahyarham Azizah yang meminta untuk menunggu pulang tidak kesampaian.

"Apa yang diingini tidak berlaku. Perancangan ALLAH SWT lebih baik. Kini kami menunggu kepulangan jenazah Azizah untuk disemadikan," ujarnya.

Halimah berkata, Azizah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara ketika kali terakhir mereka bertemu.

"Seminggu sebelum ini Azizah dan anak-anaknya jarang datang ke rumah. Kalau tak, boleh dikatakan setiap hari mereka datang, pagi dan petang.

"Cucu-cucu suka datang ke rumah untuk bermain di sini," katanya.

Sementara itu, kakak ipar mangsa Allahyarham Azizah, Rosilawati Kassim, 49, berkata, ibu mentuanya tidak berhenti menangis sejak hari pertama mendapat tahu adik iparnya sekeluarga dihanyutkan kepala air.

Menurut Rosilawati, pada mulanya dia berasa pelik kerana Halimah kelihatan murung dan tidak banyak bercakap selepas mendapat tahu khabar duka itu.

"Sehingga kini air mata mak belum kering. Masih sedih dengan tragedi yang menimpa.

"Apa yang berlaku adalah satu kehilangan besar buat kami sekeluarga," katanya.

Allahyarham Azizah merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik.

Rosilawati berkata, kali terakhir bertemu adik iparnya itu dua minggu lalu dan mereka tidak sempat bertemu pada Aidiladha kerana dia pulang ke kampung halaman di Ajil, Hulu Terengganu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti



Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata


'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'

Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3